Monday 3 February 2014

30 tahun tiada kad pengenalan

30 tahun tiada kad pengenalan
Salah seorang anak Ana menunjukkan surat permohonan mendapatkan pengenalan diri yang dibuat oleh Tok Batin Kampung Jemeri, Keria Peletak.


ROMPIN – Sebuah keluarga Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Jemeri, di sini, tidak pernah memiliki kad pengenalan diri walaupun sudah memohonnya beberapa kali hingga menyebabkan mereka mengalami kesukaran dalam urusan seharian.

Mereka sembilan sekeluarga kini sudah buntu memikirkan masalah ini yang menghantui hampir lebih 30 tahun terutama memikirkan nasib meneruskan hidup kerana tidak dapat memiliki kerja yang tetap dan hanya mengharapkan hasil hasil hutan sebagai punca pendapatan.

Menurut salah seorang mereka, Ana Ludin, 46, mereka sekeluarga bagaikan pelarian dan hanya memencilkan diri di dalam hutan kerana bimbang akan ditahan pihak berkuasa hanya kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sejak 30 tahun lalu.

Dia bersama tujuh anak serta suaminya, Johan Lanchong, 65, yang kini menetap di Kampung Jemeri menjalani hidup yang tidak keruan kerana tiada sebarang pengenalan diri hingga dianggap pendatang tanpa izin (Pati) .

Ana yang dilahirkan di Kampung Punjut, Kahang, Johor, itu berkata, masalah berkenaan timbul apabila beliau sekeluarga sering berpindah randah menyebabkan segala proses dokumentasi seperti
surat beranak tidak dapat dilakukan.

Permasalahan itu akhirnya mengheret kepada masalah lain apabila semua anaknya sukar untuk mendaftar bagi mendapatkan pengenalan diri walaupun sudah memohonnya lebih daripada lima kali.

“Sudahlah saya dan suami tidak memiliki kad pengenalan, kini tujuh anak pula dinafikan hak untuk memiliki dokumen berkenaan menyebabkan mereka sukar mendapatkan pekerjaan malah pernah
dianggap sebagai Pati.

“Masalah berkenaan tidak terhenti di situ sahaja apabila ada antara mereka sudah berkeluarga namun tetap tiada pengenalan diri seterusnya mengundang masalah untuk mendaftar cucu ke sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ana turut mendedahkan bahawa mereka juga pernah ditahan pihak berkuasa ketika sekatan jalan raya tiga bulan lalu berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka takut untuk keluar ke bandar berhampiran.

“Pihak berkuasa terbabit mahu membawa kami sekeluarga ke balai polis berhampiran untuk pemeriksaan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri. Namun bernasib baik kerana ada penduduk kampung yang datang mengesahkan kami adalah orang tempatan.

“Selepas itu kami telah mengadukan perkara berkenaan kepada pihak bertanggungjawab malah permohonan juga dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) sejak dua tahun lalu namun sehingga kini tiada sebarang jawapan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara OA, Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan dengan menghantar wakil untuk mengambil butiran lanjut seterusnya memastikan mereka layak mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment