Monday 27 January 2014

Tanglung paling laris di Tahun Baru Cina


KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, masyarakat Tionghua sibuk membuat persiapan bagi merayakan sambutan itu dengan membeli pelbagai perhiasan rumah.

Ini kerana mengikut kepercayaan, rumah perlulah bersih dan dihiasi dengan warna merah untuk membawa tuah dan kemakmuran.

Menurut Shirley Tong yang mengusahakan kedai perhiasan di Petaling Street, setiap Tahun Baru Cina, tanglung merah dalam pelbagai bentuk dan saiz adalah antara barangan yang paling laris dijual.

Ini kerana amalan menggantung tanglung di anjung rumah merupakan tradisi sejak turun-temurun lagi.

"Menurut kepercayaan Cina, jika anda menggantung dua tanglung di hadapan pintu rumah, ia bakal membawa tuah dan kemakmuran sepanjang tahun." kata Shirley, 60 tahun.

Selain itu, bunga-bungaan yang berwarna-warni juga menjadi pilihan ramai untuk menghiasi kediaman mereka.

"Selalunya bunga jenis "mou tan" amat popular di kalangan pembeli. Dalam bahasa Cina, nama bunga ini bermaksud semua perkara yang baik akan datang kepada anda." tambah Shirley.

Tahun Baru Cina

Selain tanglung, apa yang trending untuk tahun baru cina adalah "paper cutting" atau seni potongan kertas. yang merupakan seni yang berasal dari negara China.

Seninya cukup halus dan terperinci menjadi antara kegemaran masyarakat tiong hua untuk Tahun Baru Cina.

Menurut peniaga barangan hiasan Cina, Jean Lau, seni kertas tradisional itu semakin popular di Malaysia sejak beberapa tahun lalu khususnya yang mengandungi pepatah yang mengucapkan kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

"Seni potongan kertas ini sangatlah halus dan terperinci. Selalunya seni ini memerlukan banyak masa dan tumpuan untuk mendapatkan potongan yang halus untuk menghasilkan bentuk tertentu. Ia juga melambangkan bagaimana masyarakat Cina begitu sabar untuk menghasilkan seni sebegini." kata Jean.

Selain itu, barangan bercirikan kuda turut menjadi tumpuan sebagai simbolik menyambut kehadiran tahun kuda.

Tahun Baru Cina

Kuda ialah bintang haiwan yang ketujuh dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina.

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, tahun kuda melambangkan semangat untuk berdikari, kreatif, optimis, terus terang dan serba boleh.

Apa yang pasti, segala barangan perhiasan Tahun Baru Cina mestilah berwarna merah kerana ia dipercayai membawa tuah.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment