Monday 27 January 2014

Sinar Harian batalkan debat isu kalimah Allah antara Noh Omar dan Khalid Samad


KUALA LUMPUR: Debat isu kalimah Allah antara Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad anjuran akhbar Sinar Harian yang dijadualkan hari ini dibatalkan, lapor Sinar Harian Online.

Penasihat Esekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali menjelaskan keputusan membatalkan debat tersebut dibuat setelah mengambil kira pelbagai sudut dan situasi terkini.

“Setelah meneliti pandangan dan nasihat daripada tokoh-tokoh agama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga mereka yang prihatin, kami mengambil keputusan untuk membatalkan debat ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Abd Jalil berkata nasihat dan pandangan mengenai debat isu kalimah Allah telah diterima dari pelbagai pihak menerusi akhbar, media sosial, e-mel dan surat-surat yang dihantar ke pejabat Sinar Harian.

"Kami memahami perasaan dan sentimen umum semasa dan justeru itu kami mengambil keputusan ini,” katanya.

Isu kalimah Allah kembali menjadi hangat selepas Pengarang Mingguan Katolik, Herald, Lawrence Andrew membuat kenyataan pada Disember lepas yang menegaskan gereja katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Akibat kenyataan itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, (PERKASA) Selangor membuat laporan polis terhadap Lawrence.

Isu ini bertambah hangat, apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim dan merampas 351 kitab Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban kerana menggunakan kalimah Allah.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment