Wednesday 22 January 2014

MB Melaka: Ikrar taat setia saya, hanya untuk isteri saya

--gambar fail

KUALA LUMPUR: "Ikrar taat setia saya hanya kepada isteri saya sahaja."

Ini adalah jawapan Menteri Besar Melaka Datuk Seri Idris Haron kepada'permaisuri' yang menuntut beliau memberikan ikrar taat setia kepadanya.

Malah, Idris berkata sekiranya ‘permaisuri’yang mendakwa suaminyalah sepatutnya mewarisi takhta Kesultanan Melayu Melaka itu, hendak menjadi 'permaisuri', Melaka kena ada Sultan terlebih dahulu dan perlembagaan perlu dipinda.

"Melaka sudah ada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka sebagai wakil Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu jika hendak jadi pewaris atau nak jadi permaisuri Sultan Melaka, perlu ada Sultan dahulu.

"Sekiranya hendak ada Sultan Melaka, perlembagaan perlu dipinda. Hendak pinda perlembagaan perlu dapat dua pertiga sokongan di Parlimen.

"Sekiranya beliau boleh dapat dua pertiga sokongan ahli Parlimen pinda perlembagaan, saya selaku Ketua Menteri akur luhur perlembagaan," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut laporan mStar online, ‘permaisuri' dari Seri Kembangan, Selangor, itu, telah melabelkan Raja Noor Jan Shah yang mendakwa dirinya ‘Sultan Melaka’ selama ini, hanya berlagak semata-mata.

Lebih mengejutkan lagi, pembantu peribadi ‘permaisuri’ itu, Hidhir Yusof, berkata majikannya mempunyai kuasa luar biasa dan memberi amaran bahawa dia boleh membuat sumpahan ke atas Melaka jika marah.

"Dia boleh memanggil ribut angin dan hujan yang tidak berhenti-henti jika tidak dapat menahan kesabarannya.

"Oleh itu, lebih baik ketua menteri bertemu dengannya dan mendengar rahsia Kesultanan Melaka yang tidak sabar-sabar untuk didedahkan kepada beliau," kata Hidhir kepada mStar online.

Ia dilaporkan bahawa, ‘permaisuri’ itu cuba bertemu dengan Idris tetapi percubaan itu kurang berjaya.

Pada 14 Januari lepas, Raja Noor Jan Shah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menganjurkan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Penahanan itu dibuat dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, selepas pihak polis Melaka menerima lapan laporan dibuat individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment