Friday 17 January 2014

Gajet boleh jadi racun

GAYA ibu bapa menghadiahkan telefon dan tablet berinternet kepada anak mungkin dianggap bersesuaian dengan zaman teknologi, namun ia sebenarnya mampu mempengaruhi si anak kepada masalah sosial, terutama aktiviti seksual luar nikah.

Pengerusi Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-kanak (MCPSA) Sabri Rahman berkata budaya menghadiahkan gajet kepada anak sebagai pengganti kesibukan ibu bapa perlu dihentikan kerana ia akan menjadi racun yang mendorong berlakunya pelbagai masalah sosial termasuk kes rogol dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

"Mereka (ibu bapa) menyedari kesibukan itu, malangnya mereka tidak mencari jalan untuk meluangkan masa bersama sebaliknya menghadiahkan gajet untuk menggembirakan anak-anak dan menebus waktu kesibukan mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas mengenai laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendedahkan kes rogol membabitkan kanak-kanak sejak kebelakangan ini berpunca daripada penyalahgunaan internet membabitkan pelaku yang masih bersekolah.

Siasatan mendapati punca utama mereka terlibat dalam jenayah itu selepas terpengaruh dengan media sosial seperti Facebook dan laman sesawang yang memaparkan video dan bahan-bahan lucah di internet.

Agensi berita di London melaporkan kajian terbaharu 'The Journal of Pediatrics' mendapati perbuatan mengirim pesanan serta gambar lucah secara elektronik atau 'sexting' berkemungkinan mendorong aktiviti seksual membabitkan bukan sahaja pelajar sekolah tinggi tetapi juga pelajar sekolah rendah berusia 12 hingga 14 tahun.

Jurnal berkenaan mendedahkan kajian yang dijalankan ke atas 420 responden gred tujuh di lima sekolah rendah awam di bandar Rhode Island, Amerika Syarikat mendapati pelajar cenderung untuk bercium, melakukan seks oral atau hubungan seks berbanding rakan sebaya yang tidak menghantar mesej lucah.

Asas kebimbangan Sabri dikukuhkan lagi apabila gajet yang diberikan kepada anak tidak dipantau sebaliknya dibiarkan menjadi 'sahabat' yang boleh merosakkan minda terutama untuk golongan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

"Lebih mengecewakan apabila masih ramai ibu bapa yang tidak 'IT savvy', mereka sendiri pun tidak tahu menggunakan gajet canggih apa lagi untuk memantau gajet yang digunakan anak-anak," katanya.

Malah agensi turut melaporkan hasil kajian itu saintis mendapati, 'sexting' dikaitkan dengan kecenderungan perlakuan seksual seperti menyentuh alat sulit, seks oral dan seks vagina.

Menurut pengkaji, kumpulan ini empat hingga tujuh kali lebih cenderung melakukan perlakuan seksual lain.

Penceramah bebas Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid pula berkata gajet berinternet ibarat lautan tanpa sempadan mampu memberi masyarakat pelbagai ilmu namun bagi golongan kanak-kanak dan remaja, yang dipenuhi perasaan ingin tahu penerokaan laman sesawang tanpa kawalan pastinya mengundang impak negatif.

"Memang kanak-kanak dan remaja lebih pantas menguasai dunia digital berbanding ibu bapa, sifat kurang matang dan tidak sedar akan membawa kepada akibat negatif yang serius," katanya.

Antara cadangan lain, Wan Akashah turut meminta agar filem dan drama yang menayangkan adegan mesra suami isteri seperti berpeluk dan bercium tidak disiarkan di kaca televisyen.

Beliau berkata penerbit drama dan filem perlu memberi perhatian isu berkenaan kerana adegan seperti itu yang dianggap biasa bagi golongan dewasa tetapi sebenarnya sesuatu yang baharu bagi kanak-kanak yang mendorong mereka untuk menirunya.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Prof Madya Dr Mohamed Fadhil Che Din berkata senario kini menyaksikan banyak kes-kes rangsangan seksual yang ditonton dan dipelajari golongan kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung melalui media sosial dan persekitaran.

Justeru beliau berkata untuk membendung kes seumpama itu, ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil perhatian serius kerana ia melibatkan pembentukan sahsiah diri generasi masa hadapan. - Bernama

No comments:

Post a Comment