Friday 17 January 2014

Almy Nadia: Tanyalah Fizz...

Almy Nadia
Almy Nadia

PENGHUJUNG tahun lalu, pelakon filem, Nur Kasih The Movie ini pernah memberitahu akan mengahwini kekasihnya, Almy Nadia pada pertengahan tahun ini.

Namun sehingga kini, baik Fizz Fairuz mahupun Almy, masing-masing memilih untuk tidak berkongsi tarikh sebenar pernikahan mereka.

Pun begitu, beberapa hari lalu, Fizz dilihat mula membuat persiapan untuk melangkah ke alam rumah tangga termasuk membeli barang hantaran.

Menerusi foto yang dikongsi di laman sosial, Instagram miliknya, Fizz menulis, "Mari beli barang hantaran" dan memilih barangan mewah berjenama, Chanel sebagai satu daripada barang hantaran.

Walaupun Fizz dilihat lebih terbuka dalam berkongsi, namun tidak bagi Almy yang selesa mengunci mulut.

Menurut Almy, dia tidak berani beri sebarang penjelasan tentang hal ini setelah melalui beberapa episod duka sebelum ini.

"Saya tak berani nak cakap lebih-lebih, nanti kalau tak jadi, saya juga yang malu. Malah, ibu saya juga berpesan supaya lebih berhati-hati bila bercakap.

"Malah, lebih baik diam kerana saya di pihak perempuan. Insya-ALLAH, kalau diizinkan Allah SWT, kami akan mengumumkannya nanti.

"Kalau ingin tahu lebih lanjut, Fizz yang lebih layak untuk menjawabnya. Lagipun, ia lebih manis jika Fizz sahaja yang bercakap," kata pelakon drama Cinta Buat Emelda ini.

Pasangan ini mula menjalin hubungan cinta sejak lapan tahun lalu dan hubungan ini terputus seketika gara-gara tindakan Fizz yang memilih bertunang dengan wanita lain pada awal tahun lalu.

Namun, pertunangan itu terputus setelah Fizz mendakwa tunangnya itu adalah isteri orang dan memilih untuk kembali ke pangkuan Almy selepas itu.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment