Friday 6 September 2013

Harga minyak: Menteri sanggup elaun dipotong

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sanggup dipotong elaunnya.


Cadangan pemotongan elaun minyak kepada menteri, timbalan menteri dan pegawai kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit negara disambut baik pemimpin kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bersedia dipotong elaun yang diberikan kepadanya jika langkah itu mampu mengukuhkan keadaan ekonomi negara.

“Kalau kita mahu rakyat melihat situasi ini (pengurangan subsidi minyak) dengan berjimat, kita juga sebagai wakil rakyat harus sanggup lakukan perkara sama.

“Baik potong elaun saya sekarang kalau itu boleh bantu kukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan sanggup lakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyarankan elaun minyak yang diperuntukkan kepada pegawai kerajaan termasuk menteri dan timbalan dipotong bagi mengurangkan masalah defisit negara susulan isu pengurangan subsidi diesel dan petrol.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, memberi jaminan akan mencari mekanisme bagi memastikan syarikat pengangkutan bas dan lori tidak menaikkan tambang dan kos pengangkutan.

“Dari segi pengurangan subsidi saya harap ia akan dapat salurkan manfaat pada orang ramai, saya akan fikirkan supaya syarikat bas dan lori tidak naikkan harga perkhidmatan mereka dengan bantuan dari kerajaan.

“Supaya orang ramai yang gunakan bas dan barangan yang dibawa menggunakan lori tidak terbeban akibat kenaikan kos,” katanya.

Katanya, pertemuan bersama pengusaha sektor pengangkutan akan diadakan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi selain mengusulkan cadangan mereka supaya dipertimbangkan dalam bajet akan datang.

“Kita akan lihat jika ada formula yang boleh dipertimbangkan dalam bajet akan datang namun buat masa ini saya minta mereka yang terlibat jangan lakukan sesuatu yang beremosi.

“Jika perkara ini tidak dipolemikkan, saya yakin orang ramai akan faham kerana banyak negara gagal urus ekonomi dengan baik,” katanya.

- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment