Friday 6 September 2013

Kertas siasatan nahas di Jalan Genting Highlands siap 90 peratus - Polis

Kertas siasatan nahas di Jalan Genting Highlands siap 90 peratus - Polis

Kertas siasatan berhubung nahas membabitkan sebuah bas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands pada 21 Ogos lepas, kini siap 90 peratus.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata kertas siasatan  itu akan dihantar kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat.

"Siasatan pada masa ini hanya memerlukan maklumat daripada agensi-agensi dan pakar terlibat untuk memahami punca sebenar kemalangan," katanya kepada pemberita semasa Ops Laju dan Pelbagai di Kilometer 453 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Hentian Sungai Buloh di sini, awal hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan mengambil masa untuk disiapkan berikutan terdapat beberapa elemen penting perlu dititikberatkan daripada agensi terbabit.

"Sebagai contoh, dalam siasatan yang bersangkut dengan penumpang warga asing, kita mungkin ada maklumat tambahan mengenai latar belakangnya dan ini menyebabkan kertas siasatan sukar untuk disiapkan segara," katanya.

Dalam nahas itu, bas terbabit terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Jalan Genting Highlands ketika menuruni puncak pusat pelancongan itu mengakibatkan 37 orang termasuk pemandu maut manakala 16 lagi cedera.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment