Friday, 26 July 2013

"Penjara not bad," kata Alvin



KUALA LUMPUR:  Alvin Tan yang dipenjara selama lapan hari kerana tidak dibenarkan jaminan atas tuduhan mempersendakan umat Islam dan Ramadan, hanya menyatakan 'not bad' bagi menggambarkan pengalamannya di dalam penjara.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan jaminan manakala pasangannya Vivian Lee, yang sentiasa menundukkan kepala enggan memberi komen.

Pada 10 pagi, Alvin dan Vivian, yang masing-masing masih bergari diiringi beberapa anggota polis ke Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen/Majistret (Jenayah) bagi urusan jaminan dan kakitangan mahkamah membacakan syarat jaminan.

Kedua-duanya dilihat menandatangani dokumen jaminan sebelum beredar dari kaunter itu kira-kira 20 minit kemudian dan bergegas menaiki dua buah kereta yang menunggu di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Semalam, pasangan itu diikat jamin oleh ibu Alvin dan rakan perempuan mereka sebanyak RM30,000 setiap seorang.

Sementara itu, peguam Chong Joo Tian ketika ditemui pemberita sejurus anak guamnya beredar berkata: "Mereka gembira dapat keluar dari penjara. Mereka perlukan masa untuk berehat".

Pada 18 Julai lepas, Alvin dan Vivian masing-masing ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang selepas Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Namun, semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin membenarkan mereka masing-masing dijamin RM30,000 bersama empat syarat.

Empat syarat itu ialah pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan, dilarang memuat naik artikel, komen, gambar lucah serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman serta dihalang menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet.

--BERNAMA 

No comments:

Post a Comment