Saturday 15 June 2013

Serpihan kereta dijumpai semasa kerja-kerja pembersihan

Serpihan kereta dijumpai semasa kerja-kerja pembersihan

GEORGE TOWN: Pasukan petugas kerja-kerja pembersihan di kawasan runtuhan penebat kilat Menara Umno di Jalan Macalister di sini hari ini menjumpai serpihan bangkai sebuah lagi kereta yang dipercayai tertimbus dalam lumpur.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Phee Boon Poh berkata, beliau dimaklumkan serpihan sebahagian bangkai kereta Honda City itu dipercayai milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hari kejadian.

Bagaimanapun setakat ini tiada mangsa yang terperangkap ditemui dan penemuan terbaharu itu membawa kepada sebanyak lapan buah kereta disahkan terhempap dalam runtuhan itu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai ketika dihubungi berkata serpihan kereta itu dijumpai semasa kerja menggali dijalankan.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kerja-kerja menggali masih giat dijalankan dan jalan di sekitar kawasan kejadian masih ditutup.

Sementara itu, suasana di tempat kejadian menjadi gamat sebentar apabila salah seorang pekerja diselamatkan dari terjatuh ke dalam lumpur dipercayai akibat diserang penyakit sawan.

Lelaki itu diselamatkan oleh petugas-petugas lain dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Pada petang Khamis lepas, penebat kilat setinggi 20 meter yang terletak di atas Menara Umno di Jalan Macalister itu, runtuh berikutan angin kencang mengakibatkan jalan rosak selain menghempap beberapa kenderaan.

Insiden yang berlaku pada pukul 6.45 petang itu turut menyebabkan seorang lelaki pekerja asing maut selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat berkenaan.

Sebanyak 293 buah rumah dilaporkan terjejas dipukul ribut kencang yang melanda negeri ini pada hari berkenaan - enam di daerah Seberang Perai Selatan, 125 di Seberang Perai Tengah, 12 Barat Daya, 94 di Seberang Perai Utara dan 56 di Daerah Timur Laut.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment