Saturday 14 December 2013

Selangor, Perak dan Johor miliki pengamal Syiah paling aktif


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenal pasti kira-kira 1,500 pengamal fahaman Syiah di seluruh negara dengan yang paling aktif ialah di Selangor, Perak dan Johor.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan (Akidah) Jakim, Mohd Aizam Mas'od berkata Jakim kini menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri bagi mengambil tindakan perundangan terhadap mereka yang telah dikenal pasti itu.

"Walau bagaimanapun pihak Jabatan Agama Islam negeri-negeri menghadapi masalah untuk mendakwa mereka yang terlibat di Mahkamah Syariah kerana tidak mempunyai bukti yang mencukupi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu membicarakan isu fahaman Syiah pada seminar mengenai 'Akidah Ummah' anjuran bersama Jakim, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd.

Ia dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim Datuk Razali Shahabudin.

Mohd Aizam berkata bagi mengatasi masalah tersebut, Jakim akan mengadakan perbincaangn dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri bagi mencari jalan untuk mengatasinya.

Beliau berkata hebahan melalui media mengenai fahaman Syiah serta pemantauan Jabatan Agama Islam negeri-negeri yang ketat, telah memberi kesan kepada perkembangan fahaman itu di negara ini.

Mereka kini semakin berhati-hati dalam menjalankan aktiviti mereka, katanya.

"Apa yang penting kita melakukan pemantauan dan tindakan tegas yang membuktikan kesungguhan pihak berkuasa membanteras ajaran sesat ini," katanya.


Bernama

No comments:

Post a Comment