Tuesday 19 November 2013

Tiada ejen CIA di pejabat Peguam Negara, tegas menteri

Tiada ejen CIA di pejabat Peguam Negara - Nancy

KUALA LUMPUR:  Kerajaan membuat penegasan tiada ejen daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) bekerja di Jabatan Peguam Negara.

Ketika membuat penegasan itu pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata perkara tersebut sudah dijelaskan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Sekiranya tidak berpuas hati bolehlah pergi melawat pejabat Peguam Negara," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi portfolionya, di Dewan Rakyat di sini.

Dakwaan ejen CIA bekerja di Jabatan Peguam Negara itu dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan sebelum ini.

Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah), Nancy berkata Jabatan Peguam Negara tidak membuat rayuan berhubung kes pembelian tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kerana berpandangan peluang untuk menang adalah tipis.

Pada 25 Okt lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ, pada 2002.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata pelantikan pengusaha stesen minyak Petronas dikendalikan oleh Petronas Dagangan dan tidak melibatkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Beliau berkata penubuhan Teraju adalah untuk membantu syarikat Bumiputera yang memenuhi kriteria menyertai Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

Katanya Teraju juga tidak campur tangan dalam pelantikan lembaga pengarah sesebuah syarikat bumiputera kerana perkara itu bergantung kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment