Sunday 3 November 2013

Kilang nafi proses bihun dan laksa berhampiran kandang babi

Kilang nafi proses bihun dan laksa berhampiran kandang babi

KUALA KETIL:  Kilang Bihun Bersatu Resources Berhad (KBBR) menafikan pihaknya memproses bihun dan laksa berhampiran sebuah ladang babi dan menegaskan dakwaan di beberapa laman sosial tidak berasas dan berunsur fitnah.

Pegawai Khas kepada Pengerusi KBB Resources Berhad, Ahmad Zafry Sulaiman, berkata kilang KBBR terletak di kawasan perindustrian Kuala Ketil dan bukannya terletak bersebelahan kandang babi.

Katanya, apa yang tersebar di media sosial itu sebenarnya sebuah kilang di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan ia bukan milik KBBR.

"Sebentar tadi media dibawa ke tempat memproses, kita dapati memang ternyata jelas kilang ini tidak berada berhampiran dengan kandang babi.

"Saya rasa tuduhan yang dibuat terhadap kami dalam media sosial itu tidak berasas," katanya.

Berikutan dakwaan terbabit,  hasil jualan syarikat terbabit juga terjejas teruk sejak isu itu heboh diperkatakan dan kerugian mencecah 20 peratus untuk tempoh sebulan.

Sehubungan itu, pihak syarikat memberi tempoh dua  minggu kepada pemilik blog dan Facebook berkenaan menarik balik dan meminta maaf kerana dakwaan yang dilihat telah menjejaskan reputasi dan imej kilang yang menjadi pembekal utama produk makanan seperti bihun dan laksa di negara ini.

Malah satu laporan polis juga telah dibuat berhubung  perkara itu.

Dalam pada itu, pihak syarikat berharap pengguna di negara ini khususnya umat Islam tidak bimbang dengan tahap kebersihan dan kesucian produk keluaran mereka kerana kilang terbabit telah mendapat kelulusan dan mendapat sijil halal dari Jakim.

Ahmad Zafry berkata, kilang KBB Resoursces dibuka sejak 20 tahun lalu mempunyai 7 cawangan iaitu tiga di Kedah , tiga di Sarawak dan satu di Johor telah didaftarkan di Bursa Saham Malaysia.

Kilang ini mengeluarkan lebih 40 jenis produk bihun, laksa dan mee untuk pasaran dalam negara.

KBBR merupakan pengeluar bihun dan laksa utama di negara ini.

Baru-baru ini, isu mengenai kilang memproses bihun ini telah mendapat perhatian ramai selepas kilang itu  didakwa memproses bihun dan laksa serta produk lain di dalam kilang yang berhampiran dengan kandang babi dan ia telah tersebar di laman sosial  seperti blog, Facebook dan Twitter.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment