Saturday 2 November 2013

Gadis hilang ditemui selamat

Siti Zubaidah Zakaraya
Zarina (kanan) bersyukur Fatin (kiri) ditemui selamat.


SUNGAI PETANI - "Saya tak ingat apa-apa". Demikian luahan mangsa yang dilaporkan hilang, Fatin Afifah Mohd Fazli, 16, dari Flat Paya Nahu yang ditemui selamat malam Selasa lalu di sebuah rumah penduduk sekitar Kampung Permatang Gedong, dekat sini.

Fatin berkata, sebaik sahaja keluar dari tandas masjid (tempat dia singgah sebelum masuk ke sekolah), dia berasa pening lalu tidak mengingati apa-apa sehingga dibawa balik sebuah keluarga kerana melihat dirinya berada dalam keadaan kebingungan.

Menurutnya, keluarga itu menjaganya sepanjang dilaporkan hilang sebelum dijemput ibu saudara selepas keluarga terbabit melihat paparan menerusi akhbar Sinar Harian yang dibuat ibunya, Zarina Mohd Noor, 39, mengenai kehilangannya.

“Saya dibawa pulang ke rumah mereka dan dijaga keluarga itu sebelum dijemput ibu saudara pulang ke rumah,” katanya semalam.

Menurut Zarina, salah seorang ahli saudaranya menerima panggilan dari sebuah keluarga yang mengatakan Fatin Afifah berada bersama mereka sepanjang tempoh itu dan dijaga rapi.

“Sebaik sahaja menerima panggilan, ahli keluarga bergegas ke lokasi yang dimaksudkan sebelum menemui anak saya dalam keadaan selamat,” katanya.

Zarina berkata, laporan polis dan pemeriksaan perubatan sudah dilakukan bagaimanapun disahkan, tiada sebarang kecederaan.

Pada 29 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari disedari hilang setelah dimaklumkan rakan sekelas kepada abang sulung mangsa, dia tidak masuk ke kelas pada Ahad, 27 Oktober.

Fatin Afifah sebelum itu bersama abangnya, Mohd Amirul Mukhlis, 17, baru sahaja meletakkan motosikal di pekarangan masjid yang terletak di hadapan sekolah sebelum ke tandas masjid kerana sakit perut.

Semasa mahu pulang sekolah, Mohd Amirul dimaklumkan berhubung ketidakhadiran adiknya ke sekolah pada hari itu, sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai kehilangannya.

Zarina turut mengucapkan terima kasih kepada mana-mana pihak yang turut membantu keluarga itu sehingga anaknya ditemui selamat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment