Thursday 3 October 2013

Tiga lelaki dikehendaki polis ditembak mati

Tiga lelaki termasuk seorang yang sangat dikehendaki polis atas pelbagai jenayah samun bersenjata terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan polis awal pagi ini di Gerik, Perak.

Menurut sumber polis, insiden tersebut berlaku pada jam 1.40 pagi di Jalan Intan apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira berwarna putih yang dinaiki oleh tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Polis yang cuba mendekati kereta tersebut bagi tujuan pemeriksaan terkejut apabila pemandu kereta tersebut dengan tiba-tiba mengundurkan keretanya dengan laju. Malah, penumpang dalam kereta tersebut mula melepaskan beberapa das tembakan kepada polis dan polis terpaksa membalas tembakan.

Selepas kejadian tembakan itu berakhir, ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam 20an tersebut ditemui mati dalam kereta tersebut .

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu ketiga-tiga suspek berkenaan yang berumur di antara 25 hingga 36 tahun yang berasal dari Kelantan itu dipercayai berada di pekan Gerik itu untuk melakukan jenayah sebelum berjaya ditumpaskan.

“Bertindak di atas maklumat orang ramai yang kami terima, Ops Cantas yang terdiri daripada pegawai dan anggota daripada kontijen Pahang dan juga kontijen Bukit Aman , telah mengesan sebuah kereta di bandar pekan Gerik ini.

"Apabila mereka cuba menahannya dan mengarahkan mereka supaya berhenti, mereka berhenti tetapi terus mengundurkan kenderaan dan terus menembak ke arah polis.

"Pihak polis untuk mempertahankan diri telah membalas tembakkan dan kemudian kita telah memeriksa kenderaan mendapati tiga orang yang berada di dalam kenderaan ini mati,” kata Khalid dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Grik, Perak.

Modus operandi penjenayah ini adalah mencuri kereta, menyamun mengunakan senjata dan pecah rumah.

Selain itu polis juga turut menjumpai dua pucuk pistol jenis .38 dan .22 di dalam kereta Proton Wira berwarna putih milik suspek, serta 11 butir peluru dan pelbagai peralatan untuk memecah rumah dan juga mencuri kereta

"Kita percaya mereka bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya satu kes bunuh iaitu peniaga nasi kukus,di Paka, Terengganu,yang berlaku tidak lama dahulu dan juga dua kes cubaan membunuh,” kata beliau lagi.

Salah seorangnya melepaskan tembakan terhadap seorang ibu tunggal di dalam van Toyota Alphard di Kuantan dan sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjata api.

Ketiga-tiga suspek itu telah diburu oleh polis sejak enam bulan lalu.

- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment