Thursday 3 October 2013

7 suspek samun lori kontena muatan syampu ditahan

SHAH ALAM - Tujuh lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dipercayai menyamun sebuah lori bersama kontena bermuatan syampu di Seksyen 33 di sini membabitkan kerugian RM500,000 Ogos lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kesemua mereka ditahan secara berperingkat di beberapa tempat di Selangor, iaitu di sekitar Subang Jaya, Klang Utara, Klang Selatan, Petaling Jaya dan Puchong.

"Susulan penangkapan suspek, polis menemui hampir 75 peratus barangan yang disamun termasuk lori serta wang tunai RM55,000 yang merupakan hasil jualan syampu berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata, dalam kejadian 2.15 pagi, 19 Ogos lepas, lima lelaki dilaporkan mengikat seorang pengawal keselamatan di kilang terbabit sebelum melarikan lori jenis Scania bersama kontena bermuatan syampu bernilai RM180,000.

"Berdasarkan modus operandi kumpulan ini, pada 17 Ogos lepas, seorang daripada suspek, yang merupakan pemandu syarikat syampu berkenaan, telah membawa muatan syampu bernilai RM180,000 dari Thailand," katanya.

Mohd Shukri berkata pemandu lori itu, yang turut ditahan, didakwa merancang bersama rakan-rakannya untuk menyamun lori itu yang diparkir di perkarangan kilang.

Beliau berkata tiga suspek didakwa di Mahkamah Shah Alam mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan pada 2 Sept lepas, dan suspek lain masih ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Polis sedang mengesan tiga lagi suspek iaitu K. Murugan, 30, V. Nalan, 22, dan K. Nanda, 31.

"Mana-mana individu yang mengenali, mengetahui atau melihat suspek ini sila hubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat ASP Ghanthi di talian 019-3363732," katanya.

 - Bernama

No comments:

Post a Comment