Saturday 26 October 2013

Tiada ruang atau kompromi untuk LGBT

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin


YAN - Kerajaan tidak akan memberi ruang atau berkompromi terhadap permintaan mana-mana pihak yang bercanggah dengan perlembagaan, undang-undang negara dan ajaran Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permintaan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Malaysia (Comango) agar amalan LGBT (lesbian, biseksual, gay, transgender) dibenarkan di negara ini adalah tidak wajar sama sekali.

Beliau berkata ia bertentangan sama sekali dengan sistem perundangan negara dan akidah Islam yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.

"Dari sudut agama, ia sudah bertentangan dengan ajaran kita. Jadi tidak wajar ia ditimbulkan oleh mana-mana pihak," katanya kepada media selepas menghadiri himpunan peladang, penternak dan nelayan bersama TPM di Bukit Besar di sini petang tadi.

Beliau diminta mengulas tindakan Comango menghantar laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva Switzerland menyebabkan Malaysia terpaksa melalui proses semakan berkala sejagat (universal periodic review - UPR) pada 24 Oktober lalu untuk menilai pencapaiannya dalam hak asasi manusia.

Sehubungan itu, Muhyiddin berharap wakil Malaysia dapat memberi hujahan terbaik bagi menangkis pelbagai isu yang dibangkit oleh Camango itu.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment