Hershey akan melaburkan RM816 juta untuk membina kilang di Johor.
THE HERSHEY Company (Hershey) akan membina sebuah kilang baru membuat konfeksi di Johor, untuk memenuhi peningkatan permintaan pengguna terhadap produknya di rantau ini.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Rantaian Bekalan Hershey Terence O’Day berkata, kilang baru itu menggunakan teknologi pembuatan konfeksi terkini.
"Ia akan memperkukuh kedudukan kami untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap rangkaian produk kami di seluruh rantau ini.
"Pengguna di seluruh Asia kini mula menggemari pelbagai produk konfeksi Hershey dan China khususnya, sedang berkembang lebih pesat daripada mana-mana pasaran lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Kilang Hershey dengan pelaburan bernilai US$250 juta (RM816 juta) itu adalah pelaburan tunggal terbesar di Asia sepanjang 18 tahun sejarah syarikat itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Noharuddin Nordin berkata, pemilihan Malaysia sebagai tapak kilang Hershey adalah bukti negara ini tetap mempunyai daya tarikan untuk syarikat multinasional datang membuat pelaburan besar di rantau ini.
"Projek ini akan membawa manfaat ekonomi yang positif kepada Malaysia dari segi pekerjaan dan perniagaan bagi pembekal tempatan," katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment