Saturday 7 September 2013

Psiko Pencuri Hati bukan filem biasa

Psiko Pencuri Hati bukan filem biasa
Psiko Pencuri Hati bukan filem biasa


NAMA Nam Ron barangkali tidak asing dalam industri lakon layar di Malaysia. Biarpun namanya hanya meningkat naik pada tahun lalu, namun sebenarnya anak kelahiran Kangar, Perlis ini telah lama berkecimpung dalam bidang seni, lebih-lebih lagi dalam bidang pementasan teater.

Tidak sekadar berbakat dalam bidang lakonan, pemilik nama sebenar Shahili Abdan ini juga amat berbakat besar dalam bidang pengarahan.

Jika sebelum ini Nam Ron lebih terarah kepada filem pendek dengan tema indie, namun kini Nam Ron mula melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi bidang pengarahan filem komersial.

Menariknya, filem psiko thriller ini turut menyelitkan beberapa unsur filem indie dan menampilkan pelakon berbakat besar seperti Bront Palarae, Sharifah Amani, Syed Hussein, Amerul Affendi, dan turut dibantu oleh Shera Aiyob, Julia Ziegler, Yusmal Ghazali, dan Suhaimi Yusof.

Nam Ron juga mengakui karya pertamanya ini bersifat peribadi dan 60 peratus daripada jalan cerita dalam filem ini kena mengena dengan dirinya sebelum ini.

“Sejujurnya saya tidak menjadikan mana-mana filem sebagai rujukan, sebaliknya garapan filem ini adalah daripada pengalaman saya sendiri.

“Ini kerana sebelum ini, saya pernah terfikir untuk terjun bangunan, melintas jalan dan membiarkan diri dilanggar kenderaan berat. Tetapi seorang rakan telah menasihati saya agar menzahirkan kesakitan dan pengalaman saya dalam bentuk karya. Maka inilah hasilnya," ujarnya.

Jelas Nam Ron lagi, naskhah menarik ini digarap dan dicorak bagi mencuri hati penonton dan Nam Ron juga mahu filem itu memberikan suatu kelainan kepada penonton.

“Filem ini juga mahu memberi variasi kepada industri perfileman tempatan yang kini semakin kurang dari segi kepelbagaian genre.

“Justeru, saya cuba mempersembahkan sesuatu yang agak berbeza tanpa bertolak ansur aspek kualiti untuk menarik penonton datang ke pawagam,” katanya.

Psiko Pencuri Hati mengisahkan tentang seorang penulis novel bernama O.Sidi (Bront Palarae) yang menggemari subjek thriller dalam setiap karyanya.

Akibat terlampau obses, jiwanya menjadi kacau dan dia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan novel terbaru berjudul ‘Mangsa’.

Dalam pada Sidi menyiapkan novel tersebut, secara kebetulan ibu kota digemparkan dengan insiden pembunuhan bersiri yang sangat kejam di mana pembunuh tersebut merobek dan mengambil hati setiap mangsa.

Namun begitu, Sidi yang turut menghidap penyakit Obsessive Compulsion Disorder (OCD) semakin dihantui oleh ketakutannya sendiri sehingga mengubahnya menjadi seorang yang psiko.

Disebabkan tekanan yang melampau, rakan Sidi, Man (Amerul Affendi) telah mengajaknya bercuti ke sebuah pulau untuk mencari ilham dan menenangkan fikiran.

Takdir pula menemukan Sidi dengan sepasang suami isteri, Dr Khai (Syed Hussein) dan Wani (Sharifah Amani) yang sedang mengalami pergolakan rumah tangga.

Tanpa disangka, hubungan Sidi dan Wani menjadi rapat apabila Wani mendapat tahu bahawa Sidi adalah penulis novel thriller kegemarannya.

Suami mana yang tidak cemburu melihat isteri sendiri menjauhkan diri darinya namun mendekati lelaki lain? Disebabkan itu, Dr. Khai telah menyimpan dendam dan bertindak memarahi Wani.

Tidak berapa lama selepas itu, kesemua mereka dikejutkan dengan berita kematian isteri pemilik resort tempat mereka menginap. Dr. Khai yang menyimpan dendam terhadap Sidi telah menuduh penulis novel tersebut membunuh Siti dan entah mengapa Sidi tidak mampu menafikannya.


- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment