Saturday 14 September 2013

Obama datang Malaysia bulan hadapan

Obama datang Malaysia bulan hadapan

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama akan melawat Malaysia dalam rangka lawatan empat negara Asia pada Oktober ini, menjadikan beliau Presiden Amerika Syarikat pertama yang melawat negara ini dalam tempoh lebih empat dekad.

Obama dijadual akan turut melawat beberapa negara Asia Tenggara lain termasuk Indonesia, Brunei dan Filipina, mulai 6-12 Oktober  sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mengukuhkan penglibatan politik, ekonomi dan keselamatan Amerika di rantau Asia Pasifik.

Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden Amerika Syarikat ialah pada 1966, oleh Presiden Lyndon Johnson.

Obama dijangka akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan yang disifatkan sebagai “mengukuhkan hubungan dua hala yang semakin berkembang” di antara kedua-dua negara.

Kenyataan daripada Rumah Putih turut menyebut bahawa Obama akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Keusahawanan Global yang akan diadakan di ibu negara pada 11-12 Oktober.

Sebelum melawat Malaysia, beliau akan ke Indonesia untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan akan menghoskan beberapa siri mesyuarat di luar acara APEC berkenaan.

Obama juga dijadual menghadiri mesyuarat Pemimpin negara-negara Kerjasama Trans-Pasifik, terdiri daripada 12 ekonomi, termasuk Malaysia.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bagi mengesahkan hubungan rapat dua hala AS dan meraikan tahun ketiga Kerjasama Komprehensif mereka.

Obama kemudiannya akan ke Brunei untuk Persidangan AS-ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei.

Selepas Brunei, presiden akan ke Filipina bagi pertemuan dengan Presiden Benigno Aquino untuk mengesahkan, antaranya hubungan ekonomi dan keselamatan di antara kedua-dua buah negara. 
--Astro Awani 

No comments:

Post a Comment