Monday 16 September 2013

Kritikan pedas juri punca tersingkir - Sani


Peserta yang tersingkir, Sani tidak menolak kemungkinan kritikan pedas juri Roslan Aziz mempengaruhi jumlah undian penonton terhadap persembahannya di konsert pertama Akademi Fantasia.

Walaubagaimanapun, dia menerima keputusan itu dengan tangan terbuka walaupun terkejut proses penyingkiran berlaku pada minggu pertama.

Sani atau nama penuhnya, Kamsani Jumahat menghargai kritikan juri tetap dan percaya komen dari mereka mampu memberi kesan kepada undian peserta.

Jejaka kelahiran Singapura ini mengakui masih dalam keadaan terkejut kerana disingkirkan.

Sani telah di jemput Astro Awani untuk menjadi tetamu Gala TV Plus pada Ahad.

Sementara itu, Faizal Tahir mengakui terkejut apabila Sani menjadi mangsa penyingkiran pertama Akademi Fantasia 2013.

Menyifatkan Sani sebagai pelajar contoh Faizal bagaimanapun terpaksa akur dengan adat sebuah rancangan realiti.

Membawakan lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Sani hanya mendapat undian dua peratus.

Sementara itu, lagu Bukan Cinta Biasa membawa tuah kepada duo Azhael apabila mendapat undian SMS tertinggi dengan 26 peratus.

Faizal menjadi 'inspirer' untuk tiga minggu pertama sebelum tugas itu diambil alih Melly Goeslaw dan Datuk Siti Nurhaliza.

Pada konsert minggu pertama, Faizal mendapat pujian pengkritik tetap terutamanya Roslan Aziz kerana berjaya menggubah lagu-lagu yang dinyanyikan dengan susunan baru.

Sementara itu, pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad mengakui penonton mungkin mengambil masa untuk memahami konsep terbaru AF 2013.

Selain konsert mingguan, penonton diberikan informasi terkini menerusi program seperti AF Buzz, Diari AF dan Terus Gempak, Inilah AF (TGI AF).

AF Buzz ke udara setiap Isnin, manakala Diari AF pada Selasa hingga Khamis serta TGI AF  pada hari Jumaat.

Selain program itu, penonton turut berpeluang untuk berinteraksi dengan peserta AF menerusi Twitter.

Namun begitu,  AF 2013 mengekalkan format 100 peratus undian SMS untuk menentukan pemenang di samping jawatan tiga pengkritik tetap.

Akademi Fantasia 2013 yang dihoskan Zizan Razak telah bersiaran secara langsung dari Auditorium Cempaka Sari, Presint 3, Putrajaya di saluran Astro Ria 104 dan Maya HD 135.

No comments:

Post a Comment