Friday 27 September 2013

2.45 juta rakyat Thai terjejas banjir, 13 maut setakat ini

2.45 juta rakyat Thai terjejas banjir, 13 maut setakat ini

Banjir di Thailand diramal semakin buruk berikutan hujan lebat dijangka berterusan sehingga minggu depan terutama di sekitar kawasan utara dan timur.

Setakat ini, 13 orang meninggal dunia dan seramai 2.45 juta daripada 65 juta penduduk terjejas akibat banjir.

Pengarah Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana Thailand Chatchai Promlert berkata lapan orang meninggal dunia di Surin dan tiga di Srisaket yang terletak di timur laut negara itu manakala dua lagi di Nakorn Guinea, di kawasan tengah negara itu.

Berdasarkan statistik untuk tempoh 17 hingga 27 Sept, 30 daripada 77 wilayah Thailand terjejas akibat banjir membabitkan 210 daerah dan 9,482 buah kampung.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan nasihat hari ini mengenai kejadian hujan berikutan tekanan agak kuat dari China.

Jurucakap jabatan menasihatkan penduduk agar berwaspada dengan keadaan cuaca buruk bermula tempoh 30 Sept hingga 1 Okt.

Katanya, tekanan rendah tropika di Laut China Selatan yang terletak berhampiran Filipina dijangka bertambah buruk berikutan ribut tropika, bergerak ke tengah Vietnam semasa  tempoh berkenaan.

Keadaan ini akan memberi kesan langsung ke atas bahagian timur laut Thailand, menurut jurucakap itu.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment