Saturday 31 August 2013

Semangat restoran sambut kemerdekaan

Semangat restoran sambut kemerdekaan

SUNGAI PETANI:   "Ada negara luar rindu keamanan, negara kita hidup bersatu-padu, inilah nikmatnya kemerdekaan, marilah kita renung dan fikirkan".

Itu adalah antara bait-bait kata keramat yang tercacat di sebuah 'pondok merdeka' yang dirias indah dengan Jalur Gemilang di Restoran Mee Udang Achik, Jalan Batu Lintang, Kg Hutan Gelam, Tikam Batu, dekat sini.

Tidak sukar untuk mencari lokasi restoran istimewa ini memandangkan kedudukannya yang hampir dengan laluan ke Batu Lintang, apatah lagi dengan kemeriahan kibaran Jalur Gemilang pelbagai saiz yang menghiasi seluruh kawasan restoran dan rumah milik pesara tentera, Abdullah Ahmad, 65, yang dapat dilihat dari jauh.

Sewaktu penulis melangkah masuk, semangat patriotisme dirasakan berkobar-kobar, membuatkan penulis terfikir sejenak, bagaimana pula perasaan pemiliknya yang sanggup berhabis ribuan ringgit saban tahun demi menunjukkan rasa cintanya terhadap kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi di negara ini.

Abdullah atau lebih mesra disapa 'Acik', berkata, saban tahun sejak 10 tahun lepas, dia mencipta kelainan terhadap hiasan di restoran serta rumahnya, dan pada tahun ini motif bunga raya dan bunga ros dipilih sebagai tema hiasan.

"Jika tahun lepas, antara tarikan utama ialah bangunan Menara Berkembar Petronas, tahun ini saya memilih bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya dan bunga ros. Ada yang dilukis pada dinding dan tiang, dan ada yang dibentuk dengan acuan simen dan diwarnakan.

"Saya hasilkan mengikut idea dan kreativiti sendiri, dengan dibantu anak angkat, Zulkifli Abdul Razak (49). Saya memang ada sedikit asas dalam seni ukiran dan gubahan dan itu membantu saya untuk menghias sempena sambutan merdeka ke-56 tahun ini," katanya.

JANGGAL JIKA TIDAK SAMBUT MERDEKA

Acik yang juga bekas tukang masak tentera, berkata kos untuk menghias restoran dan rumahnya sempena sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini mencecah RM5,000, dan lebih 3,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz digantung di setiap sudut untuk menceriakan lagi suasana.

"Saya tidak kisah menghabiskan duit untuk sambutan kemerdekaan, yang penting rasa puas dan gembira apabila dapat sambut bulan kemerdekaan dengan meriah.

"Sebenarnya saya rasa janggal pula bila tidak berbuat apa-apa, sebab itu selepas sambutan kemerdekaan tahun lepas, saya terus membuat persiapan dan mengumpul dana untuk sambutan pada tahun ini," katanya.

Usahanya mendapat perhatian apabila sudah dua kali menjadi pemenang Pertandingan Keceriaan Merdeka peringkat negeri dan dua kali memenangi pertandingan sama peringkat kebangsaan, serta mendapat tempat ketiga pertandingan Kereta Merdeka Terbaik 'Spot Merdeka Car' 2012 anjuran Plus Malaysia Berhad (PLUS).

Antara penghargaan yang diterimanya ialah menjuarai Pertandingan Keceriaan Merdeka Tahun 2011 Peringkat Negeri Kedah bagi kategori Pintu Gerbang yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, serta memenangi Anugerah Terbaik Pertandingan Keceriaan Merdeka 2012 peringkat Kebangsaan kategori Bangunan Swasta dengan ganjaran RM3,000.

Bagaimanapun, kata Acik, mendapat pujian atau ganjaran daripada mana-mana pihak, bukanlah matlamat utama untuk dia menghias rumah dan restoran dengan Jalur Gemilang. Menganggap pujian dan ganjaran sebagai nilai tambah terhadap usaha yang dilakukannya, dia sebenarnya hanya mahu meraikan sambutan kemerdekaan yang kini dilihatnya semakin pudar.

"Saya harap apa yang saya lakukan dapat menyuntik semangat cintakan negara, khususnya dalam kalangan golongan muda, untuk menyambut kemerdekaan negara dengan penuh rasa syukur terhadap keamanan dan kemakmuran yang dikecapi," katanya.

TIDAK PATAH SEMANGAT WALAU DICEMUH

Anak kelahiran Tangga Batu, Melaka, ini memberitahu bahawa dia lebih senang melakukan semua kerja termasuklah mengecat, secara sendiri dengan bantuan anak angkatnya, tanpa perlu mengupah orang lain.

Mengakui rasa penat tetap ada kerana melakukan semua pekerjaan sendiri, Acik bagaimanapun berpuas hati dengan hasil usahanya itu.

Kini bukan hanya Jalur Gemilang malah terdapat juga bendera 14 negeri lain, mural, replika bunga raya, pintu gerbang serta gambar-gambar pejuang dan pemimpin negara, menghiasi setiap sudut rumah dan restorannya.

"Ada yang memuji usaha saya, malah ada juga yang meminta untuk bergambar dengan kereta saya sewaktu saya dalam perjalanan pulang ke Melaka. Tetapi, saya juga pernah dihina dan dicemuh.

"Ada yang anggap saya gila sebab sanggup menghabiskan wang begitu sahaja. Paling menyedihkan, kereta Acik yang meriah dengan hiasan bertemakan kemerdekaan, pernah dikahakkan (diludah)," ujarnya sayu.

TERUSKAN SELAGI NYAWA DIKANDUNG BADAN

Acik berkata, untuk sambutan yang bertemakan "Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku" tahun ini, dia banyak menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti plastik ais batu, kulit siput dan kulit kerang, botol kaca, surat khabar, serta cawan, gelas dan pinggan polisterin.

"Apa sahaja barang terbuang yang saya lihat boleh dikitar semula, saya akan kumpul, bersihkan dan cat sebelum digunakan untuk menghias.

"Ada antaranya sudah siap, dan ada yang masih dalam proses sentuhan akhir. Mungkin akan ada beberapa penambahan sebelum menjelang tanggal 31 Ogos," katanya.

Meskipun sudah memasukki usia warga emas, Acik berkata, dia akan terus memastikan sambutan kemerdekaan di restoran dan rumahnya, meriah pada tahun-tahun mendatang.

"Semasa saya menetap di Melaka, saya melakukan perkara sama, dan saya teruskan apabila menetap di sini sekarang. Selagi nyawa dikandung badan, Acik akan terus menghias restoran dan rumah ini setiap kali tiba bulan kemerdekaan," katanya yang berharap agar anggota masyarakat, khususnya golongan muda, menghargai erti kemerdekaan dan bersama-sama menjaga keamanan yang dikecapi sejak 56 tahun lepas.

USAHA MURNI LAMBANG SEMANGAT CINTAKAN TANAH AIR

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia negeri Kedah, Dr Haniff Hassan berkata, pihaknya amat menghargai usaha yang dilakukan Abdullah, malah ia disifatkan sebagai penyuntik semangat untuk anggota masyarakat yang lain mengikut jejak langkah sama setiap kali sambutan kemerdekaan negara dirai.

"Inisiatif dan kreativiti yang itu bukan sahaja memaparkan elemen cintakan negara tetapi juga dapat menzahirkan jati diri dan semangat cintakan negara yang cukup tinggi dalam dirinya. Dia menghargai susah payah pejuang-pejuang sebelum kemerdekaan dicapai.

"Ia sewajarnya dijadikan teladan oleh rakyat Kedah dan seluruh warganegara Malaysia yang lain, khususnya golongan muda, sebagai menghargai keamanan yang dinikmati di negara ini," katanya.

Dr Haniff berkata, semangat cintakan negara perlu dizahirkan agar masyarakat bersatu-padu, paling mudah ialah dengan mengibarkan jalur gemilang sama ada di kediaman atau kenderaan, malah ia juga perlu disemai sejak usia muda, sama ada di institusi pendidikan awal kanak-kanak mahu pun di rumah.

"Perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat sebenarnya menjadi tunggak utama mengekalkan keamanan, dan sudah tentu kita tidak mahu negara kita mengalami pergolakan sama seperti yang berlaku di negara Timur Tengah ketika ini.

"Bagi premis perniagaan seperti restoran mee udang milik Abdullah ini, tanpa disedari, inisiatif untuk menghias premis itu sebenarnya turut memberi nilai tambah kepada perniagaannya," katanya.

Oleh Rosnani Saad
BERNAMA

No comments:

Post a Comment