Friday 9 August 2013

Samy Vellu: Tiada siapa boleh kata bila saya patut bersara

Samy Vellu: Tiada siapa boleh kata bila saya patut bersara

KUALA LUMPUR:  Bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata tiada siapa yang mempunyai hak untuk memberitahu bila beliau sepatutnya bersara sebagai pemimpin parti kaum India itu.

Beliau menafikan dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah meminta beliau bersara setahun sebelum Pilihan Raya Umum 2008.

"Beliau (Abdullah) tidak pernah minta saya bersara...tiada siapa yang boleh beritahunya bila saya perlu bersara. Ini adalah hak asasi saya," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini semalam.

Media hari ini melaporkan petikan Abdullah dalam bukunya bertajuk 'Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia' bahawa Samy Vellu telah diminta bersara sebagai presiden MIC, kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum 2008 tetapi beliau (Samy Vellu) menolaknya dengan tegas.

Diminta mengulas masa depan politik anaknya Vell Paari dalam MIC, Samy Vellu, yang juga Wakil Khas Bagi Infrastrukur ke India dan Asia Selatan, berkata: "Anak saya tidak berbincang dengan saya mengenai soal politik...corak pemikiran kami adalah berbeza."

Mengenai pemilihan MIC akan datang, katanya sebagai bekas presiden, beliau tidak seharusnya bercakap apa-apa berkaitan perkara itu kerana parti itu kini dipimpin oleh orang lain (Datuk Seri G. Palanivel).

"Biar dia (Palanivel) membawa perubahan atau apa sahaja yang dia mahu. Sejak tiga tahun lepas, saya tidak pernah membuka mulut mengenai MIC tetapi saya masih terus berkhidmat untuk rakyat. Saya buat kerja dan turun padang untuk menemui rakyat dan ke pejabat.

"Setiap hari, lebih 100 orang datang berjumpa saya kerana mereka tahu saya boleh membantu menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Mengenai kenyataan timbalan pengarah strategik MIC, Datuk R. Ramanan bahawa beliau tidak harus campur tangan dalam pemilihan parti, Samy Vellu, yang tersinggung dengan soalan itu, berkata beliau tidak mahu mengulas. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment