Tuesday 27 August 2013

Penternak lembu nyaris maut ditembak

SUNGAI PETANI:  Seorang penternak lembu nyaris maut selepas ditembak ketika memandu lori yang sarat dengan muatan makanan lembu, di Sungai Division, Bukit Selambau.

Dalam kejadian 5 petang isnin itu, M. Yogeswaran, 30 tahun, cedera pada jari, terkena tembakan yang dilepas oleh suspek yang membonceng motosikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Arifin, mangsa berkemungkinan mengenali suspek.

Khalil berkata pihaknya percaya kejadian tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau kes-kes tembakan yang dilaporkan berlaku sebelum ini.

Beliau berkata polis bagaimana pun masih mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.

Difahamkan dua suspek yang menunggang motosikal itu datang dari arah belakang lori yang dipandu mangsa, sebelum melepaskan tembakan ke arahnya.

Mangsa yang cedera, menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim  Sungai Petani.

Sementara itu di kuantan, dua anggota kumpulan kongsi gelap geng 08 yang bergiat aktif di utara tanah air dan sepasang suami isteri adalah antara lima suspek pengedar dadah yang ditahan dalam ops cantas semalam.

Suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam operasi di kuantan dan temerloh.

Hasil kedua-dua serbuan itu, polis merampas 9,261.6 gram dadah heroin yang dianggar bernilai lebih 200 ribu ringgit serta dua kereta yang digunakan suspek.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata dua anggota kumpulan kongsi gelap itu yang berstatus orang sekatan (PCO) bersabit kesalahan dadah bersama seorang rakan ditahan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di tanah putih.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, suspek yang menaiki dua kereta jenis Honda Accord dan Perodua Myvi cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis sehingga berlaku pergelutan sebelum polis berjaya menahan mereka.

Sharifuddin berkata ketiga-tiga suspek yang masing-masing bekerja sebagai juruteknik kilang, pemandu lori dan buruh berasal dari utara tanah air itu ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata hasil ujian ke atas ketiga-tiga mereka, seorang daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kegiatan pengedaran dadah yang didalangi dua anggota geng 08 itu dipercayai cuba menjadikan daerah ini sebagai lokasi baharu untuk mengedar bahan terlarang itu.

Sementara itu dalam operasi pada pukul 6 petang di Temerloh, polis menahan sepasang suami isteri berusia 21 dan 27 tahun serta merampas dadah heroin seberat 171.6 gram.

Siasatan awal mendapati dadah terbabit dibawa dari utara tanah air untuk diedar kepada pengedar dan penagih di negeri ini.


- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment