Thursday 15 August 2013

Lelaki pukul isteri dalam lif serah diri di Kuantan

Lelaki pukul isteri dalam lif serah diri di Kuantan

GEORGETOWN:  Penjawat awam yang dilihat melalui  rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membelasah isterinya di dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam pada Isnin lepas menyerah diri  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata lelaki  berusia 36 tahun itu menyerah diri pada pukul 4.45 petang.

"Saya dimaklumkan oleh IPD Kuantan, lelaki yang dikehendaki polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung rakaman CCTV yang membelasah isterinya telah menyerah diri di sana.

"Kita akan bawa lelaki itu balik ke Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan lelaki itu, ia dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam laman Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga  kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan  menendang mangsa beberapa kali.

Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment