Wednesday 21 August 2013

Kabinet tolak cadangan PTPTN senarai peminjam bawah CCRIS

Kabinet tolak cadangan PTPTN senarai peminjam bawah CCRIS

KUALA LUMPUR:  Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraikan peminjam ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Keputusan itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui satu kenyataan di akaun Facebooknya selepas mesyuarat kabinet hari ini.

"Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Alhamdulillah, PTPTN tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam dibawah CCRIS. Terima kasih pada PM & Menteri-menteri Pendidikan kerana mendengar suara-suara orang muda," kata Khairy.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh pada Isnin mengumumkan cadangan berkenaan yang bertujuan mahu menggalakkan peminjam PTPTN membayar balik kemudahan pembiayaan pendidikan yang mereka terima bagi membolehkan faedah itu dinikmati oleh orang lain.

CCRIS ialah sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam seperti yang dilaporkan oleh institusi kewangan. Melalui sistem itu, mana-mana peminjam PTPTN yang ingkar membayar semula akan berdepan masalah untuk mendapatkan kelulusan permohonan pinjaman yang lain termasuk perumahan, kenderaan, sewa beli dan lain-lain.

Cadangan Idris itu bagaimanapun mendapat bantahan banyak pihak termasuk daripada Pergerakan Pemuda UMNO.

Khairy dalam satu kenyataan media berkata, kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta mengambil tindakan yang sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang ingkar.

“Bahkan,  keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam.

“Ini kerana pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti  pinjaman kad kredit atau kenderaan.

“Pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi dan keperluan memiliki kelulusan samaada Diploma mahupun ijazah adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut membantah langkah ini dan berkata ia perlu dilihat dengan lebih teliti.

Reezal Merican turut mencadangkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dijadikan rakan strategik jangka panjang kepada PTPTN.

Di pihak pembangkang, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyatakan bantahan terhadap cadangan yang dikemukakan Idris itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata PAS kesal dengan pengumuman tersebut dan mendesak kerajaan supaya tidak terus menekan rakyat yang sudah banyak dihimpit kesusahan akibat pentadbiran yang lemah.

Katanya, sepatutnya kerajaan melihat permasalahan yang menyebabkan pemimjam tidak dapat membayar kembali pinjaman PTPTN bukan menghukum mereka dengan menyenarai hitamkan di Bank Negara.

PKR menyifatkan pengumuman sebagai satu lagi kegagalan mempertahankan pendidikan sebagai hak asasi rakyat.


- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment