Tuesday 13 August 2013

Hans Isaac kecewa kutipan filem Lemak Kampung Santan


Penerbit dan pengarah filem Lemak Kampung Santan, Hans Isaac meluahkan rasa kecewa apabila filemnya gagal meraih kutipan yang memberangsangkan pada minggu pertama tayangan filem tersebut di pawagam.

Kenyataan yang dibuat menerusi akaun Twitter miliknya, @hansisaacactor antara lain menyebut usahanya selama dua tahun menghasilkan filem tersebut tidak mendapat sokongan yang penuh dari pelbagai pihak termasuk pihak pemamer dan penonton.


Sehingga Ahad lalu, filem tersebut hanya berjaya mengumpul kutipan kurang RM100,000 di pawagam.

Lemak Kampung Santan merupakan salah sebuah filem yang ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitri. Turut ditayangkan adalah filem Adnan Sempit 3.

Kedua-dua filem tempatan itu juga perlu bersaing dengan filem antarabangsa seperti Percy Jackson dan The Smurfs 2.

Pemenang trofi Pengarah Harapan dan Lakon Layar Terbaik FFM21 menerusi filem Cuci itu berkata industri filem tempatan sukar untuk maju tanpa mendapat sokongan.

“Filem Lemak Kampung Santan dihasilkan dengan kos sebanyak RM1.8 juta. Tall Order Productions mengeluarkan sejumlah wang yang besar demi untuk memajukan industri agar di masa akan datang, syarikat saya berpeluang untuk menghasilkan filem yang lebih berkualiti untuk di bawa ke peringkat antarabangsa.”

“Tanpa sokongan dalam berkarya terutamanya dari pihak yang lebih berkuasa menyebabkan saya putus harapan terhadap industri ini.”


Memutuskan untuk tidak lagi menghasilkan filem, pengarah itu mengambil keputusan untuk memfokuskan kreativitinya kepada dunia pentas teater.

Terbaru, Hans bakal menerbitkan sebuah teater muzikal dari kisah legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari yang berjudulSuperMokh The Musical.

Teater tersebut bakal dipentaskan di Istana Budaya pada November depan.

Selain SuperMokh The Musical, Hans turut dalam perancangan untuk menerbitkan Lawak Ke Der 3 di pentas yang sama Oktober depan.
- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment