Thursday, 23 March 2017

Saya risau Nazri sebab dia pemimpin BN

Tajuddin (dua kiri) menyampaikan bantuan pengisar makanan untuk usahawanita di Kampung Chikus


SUNGAI MANIK - "Saya tidak kisah mengenai Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) tetapi yang menjadi kerisauan saya adalah Nazri kerana dia merupakan pemimpin BN.

Itu luahan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika ditanya mengenai program dialog bekas Perdana Menteri itu dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz anjuran Sinar Harian yang akan dijadualkan berlangsung pada 7 April di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Menurut Tajuddin tindakan Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan meneruskan dialog berkenaan hanya akan memberi kesan kepada parti.

"Kesan dialog berkenaan bergantung kepada apa yang akan berlaku semasa ia berlangsung dan apa yang akan diutarakan oleh kedua-dua pihak sama ada menghentam atau sebaliknya.

"Sekiranya berlaku tuduh menuduh antara kedua-duanya tidak akan ada kesan positif malah jika mereka menghina satu sama lain ia boleh menimbulkan pertengkaran," katanya ketika ditanya pemberita selepas majlis gotong-royong sempena Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017, di Sungai Manik, hari ini.

Menurut Tajuddin, apa yang diharapkan beliau adalah kedua-dua mereka membincangkan bagaimana membantu rakyat dan cara membawa kemajuan untuk negara ini.

"Rakyat ingin melihat dasar dan polisi yang memberikan hasil kepada mereka dengan idea-idea bernas yang dilontarkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan dan bukan sesi menghentam terutama sekali Tun M yang lebih cenderung menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Tajuddin turut mengingatkan Mohamed Nazri walaupun dia berdialog atas namanya sendiri tanpa mengaitkan kerajaan dan parti, ia tetap akan memberi kesan kepada kerajaan dan BN.

"Rakyat tetap akan kaitkan dia (Mohamed Nazri) dengan BN walaupun dia mengatakan bahawa tindakan itu diambil atas nama sendiri dan boleh menyebabkan parti menerima kesan.

"Saya ingin ingatkan Mohamed Nazri bahawa anda mempunyai kepentingan dalam kerjaan dan BN jadi sila ambil kira apabila bercakap ketika dialog nanti," katanya.

- Sumbet

Siapa kata Mr Bean sudah meninggal?

Rowan Atkinson

LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Pelakon dan pelawak terkenal, Rowan Atkinson sekali lagi menjadi mangsa fitnah laman sosial apabila dikatakan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya 18 Mac lalu.

Berita berkenaan menjadi tular di laman sosial hingga mendapat lebih 300,000 komen ‘RIP’ daripada peminatnya hanya dalam beberapa saat.


Memetik laporan india.com, ini bukan kali pertama Atkinson dikatakan meninggal dunia, kerana pada kali pertama berlaku pada tahun 2016 juga terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Berita kematian palsu Atkinson yang terkenal dengan watak Mr Bean ini telah menggemparkan dunia.

Sejurus tersebar, laman web Hoax Alert telah mengeluarkan kenyataan mengenai berita kematian tersebut palsu.

- Sumber: Sinar Harian | 21 Mac 2017