Tuesday, 5 May 2015

PRK Rompin: Hanya 73 peratus keluar mengundi


Jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRK P.091 Rompin merosot berbanding pilihan raya ke-13 lalu dengan hanya 73 peratus keluar mengundi. -Gambar fail

ROMPIN: Jumlah peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) P.091 Rompin merosot berbanding pilihan raya ke-13 lalu dengan hanya 73 peratus yang keluar mengundi.

Perkara itu dimaklumkan sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Bagaimanapun jumlah rasmi keluar mengundi akan diumumkan oleh SPR nanti.

Sebanyak 38 pusat mengundi bagi PRK Rompin telah pun ditutup setelah proses pembuangan undi tamat jam 5.00 petang tadi.

Enam pusat mengundi ditutup lebih awal di mana empat daripadanya - Juara, Kampung Genting, Mukut dan Denai - ditutup seawal 2 petang.

Manakala Tekek dan Muadzam Shah masing-masing ditutup jam 3.00 petang dan 4.00 petang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini menjangkakan sasaran sebanyak 80 peratus, namun jangkaan itu jelas meleset.

Berbanding PRU13 lalu, sebanyak 86 peratus telah keluar mengundi untuk kawasan tersebut.

Peti-peti undi telah dibawa ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin untuk penjumlahan rasmi.

Keputusan PRK dijangka diumumkan selewatnya jam 11.00 malam nanti.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam kejadian nahas helikopter pada 4 April lalu.

Pertandingan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dengan calon PAS, Nazri Ahmad.

Pada PRU13 lalu, Jamaluddin menewaskan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi

- Sumber: Astro Awani 

Polis belasah askar Yahudi cetus huru-hara

Sebuah video viral menunjukkan seorang askar Yahudi minoriti Ethiopia dibelasah polis menjadi pencetus utama protes ganas sepanjang minggu lalu.

TEL AVIV - ISRAEL. Sebuah video viral yang menunjukkan seorang askar Yahudi minoriti Ethiopia dibelasah polis menjadi pencetus utama protes ganas sepanjang minggu lalu.

Menurut CNN, askar tersebut, Koperal Demas Fikadey, 21 sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila beliau ditahan seorang polis.

Berdasarkan rakaman video litar tertutup (CCTV) polis tersebut merampas basikal dan telefon bimbit Fidakey sebelum bertindak ganas.

Seorang lagi polis turut kelihatan menyerbu dan membelasah Fidakey beberapa saat kemudian.

Peristiwa tersebut menyebabkan protes di merata-rata tempat di Israel sebagai langkah mengecam tindakan penindasan terhadap minoriti Ethiopia.

Sebuah protest di Rabin Ahad lepas bertugar ganas apabila penunjuk perasaan bertindak memecahkan cermin kedai dan merosakkan kereta polis.

Seramai 57 pegawai polis cedera manakala 43 penunjuk perasaan ditahan.

Difahamkan, penindasan terhadap minoriti Yahudi Ethiopia oleh polis dan pihak berkuasa telah berlaku selama beberapa tahun di Israel.

- Sumber: Sinar Harian