Wednesday, 26 November 2014

MH370 dijangka hanyut ke Sumatera

SYDNEY-AUSTRALIA. Serpihan pesawat MAS, MH370 yang dilapor hilang didakwa bakal hanyut dan terdampar di sekitar perairan laut Sumatera, Jakarta.

Memetik laporan portal berita Mirror.co.uk, Pengarah Program Operasi Pencarian MH370 Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Peter Foley mendakwa serpihan pesawat tersebut dijangka dihanyutkan ke kawasan tersebut setelah dipukul dan dibawa oleh arus ombak.

Menurutnya, jika dakwaan tersebut benar dan terbukti, ia akan menjawab segala persoalan mengenai misteri kehilangan pesawat tersebut.

“Lambat-laun ia akan dihanyutkan ke mana-mana pantai, kemungkinan besar di Sumatera. Sudah ramai penduduk tempatan di sana menemui objek yang tidak diketahui dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

“Kami serahkan objek-objek tersebut kepada Boeing untuk dikenal pasti, namun kami masih tidak menemui sebarang jawapan yang mungkin berkait rapat dengan kehilangan kapal terbang tersebut,” katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Jelasnya lagi, jika benar pesawat Boeing 777 itu dikatakan terhempas, serpihan kapal terbang itu mungkin memakan masa yang agak lama untuk dihanyutkan ke daratan.

“Kita akan temui jawapannya, semua pihak berhak tahu apa yang berlaku ke atas pesawat tersebut,” katanya lagi.

Setakat ini, dua buah kapal dilapor masih menjalankan misi mencari pesawat tersebut di dua buah kawasan yang telah dikenal pasti, dengan menggunakan peralatan pengimbas sonar.

Jelas Foley lagi, 40 orang krew bekerja di atas kapal berkenaan 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan usaha mencari dapat dijalankan dengan lancar.

- Sumber: Sinar Harian 

Pelacur tersilap buka pintu

  • Beberapa paket kondom yang belum digunakan serta wang tunai dijumpai ketika serbuan dilakukan.
  • Beberapa paket kondom yang belum digunakan serta wang tunai dijumpai ketika serbuan dilakukan.

GEORGETOWN - Tiga wanita warga Thailand yang dipercayai sedang menunggu pelanggan tergamam apabila diserbu polis di sebuah rumah di Lebuh Nipah, dekat sini, kelmarin.

Menurut sumber, seorang daripada mereka membuka pintu utama rumah di Taman Lip Sin itu setelah diketuk beberapa kali kerana menyangka ia pelanggan mereka.

Katanya, mereka menjadikan kediaman disewa itu untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral berikutan penemuan beberapa peralatan untuk perkhidmatan seks.

Difahamkan, serbuan kira-kira jam 6.45 petang itu hasil maklumat awam dan risikan sejak beberapa hari lalu.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati ada dua lagi wanita warga Thailand di dalam rumah berkenaan yang sedang bersiap-siap menanti pelanggan untuk perkhidmatan seks.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka terlibat dalam kegiatan pelacuran. Bagaimanapun, penjaga mereka tidak berada di rumah berkenaan ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Menurutnya, kesemua wanita berusia antara 25 hingga 29 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan.

“Mereka juga melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelacur bawah peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63.

“Polis turut merampas barang digunakan untuk kegiatan pelacuran antaranya kondom yang belum digunakan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian