Sunday, 28 September 2014

Pengorbanan Liyana Jasmay


SEJAK berusia 9 tahun lagi, pelakon berbakat besar ini mula mencipta nama dalam industri seni tanah air. Penglibatannya menerusi filem Castello pada 2006 sedikit sebanyak membuka ruang buat dirinya terus serius meniti karier lakonan biarpun pada masa yang sama terlibat dalam bidang nyanyian.

Sehinggalah aktres yang dikenali sebagai Liyana Jasmay ini membuat keputusan melangkah ke alam rumah tangga bersama Mohd Fathuddin, 30 dan kini dikurniakan puteri sulung, Sofia Arissa yang banyak merubah dirinya.

Akui bidang lakonan bukan lagi keutamaan, Liyana yakin keputusan yang diambil itu berbaloi untuknya.

“Semua perubahan yang berlaku pada diri saya sekarang bergantung pada masa. Jika dahulu semuanya hanya berkaitan diri saya sahaja, tapi kini saya perlu ambil kira soal suami dan anak.

“Memang ada masa saya agak tertekan kerana perjalanan dan aktiviti hidup tidak sama seperti sebelum ini, tapi itulah di namakan pengorbanan seorang isteri dan ibu.

“Saya amat menyayangi kedua mereka jadi saya mahu buat yang terbaik walaupun ia bukanlah perkara yang mudah. Apa yang penting suami dan anak buat hidup saya benar-benar bahagia,” ujarnya sambil tersenyum.

'Tolak babak intim', Liyana Jasmay jaga batas lakonan

Bahagia di samping keluarga, plantun lagu ‘Cinta Bersatu’ ini mendedahkan dirinya terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan memandangkan tawaran yang diterima tidak bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Baginya, tanggungjawab memegang kedua status itu bukanlah mudah tambahan pula banyak hati yang perlu dijaga.

“Bukan senang mahu bergelar ibu, isteri dan pada masa yang sama sebagai pelakon. Banyak tanggungjawab yang perlu dilakukan supaya tidak akan ada yang tersinggung.

“Lagi pun sebagai isteri saya tidak boleh lagi lakonkan babak-babak intim atau berpegangan kerana saya perlu jaga batas,” katanya.

Tambah Liyana, buat masa sekarang dirinya lebih selesa bekerja sendiri demi kepuasan dirinya.

“Sebab itu saya pilih buat semuanya sendiri sebab ia lebih mudah untuk saya mengawal semuanya. Kalau saya mahu berlakon, saya boleh buat skrip sendiri dan tetapkan pendirian tidak perlu berpegang-pegang jadi ia tidak akan menyusahkan diri saya sendiri.

“Kalau berlakon dengan orang lain, ada babak yang tidak sepatutnya dan itu mungkin akan rumitkan keadaan saya. Saya sayang suami dan keluarga jadi saya mahu buat kerja yang diberkati,” tegasnya.

Selesa jadi penerbit

Walaupun sudah mengurangkan aktiviti lakonan, itu tidak bermakna pelakon ‘Cik Paris Diva Kampung’ ini bakal meninggalkan dunia seninya malah lebih aktif menceburi bidang belakang tabir menerusi produksi miliknya, Mermaid Studios.

Berkongsi pengalaman itu, Liyana yang akui seronok bergelar penerbit dan bidang itu telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

“Saya sangat seronok menjalani bidang ini dan pada masa yang sama tidak perlu lagi berlakon. Lagi pun sudah lama saya berlakon jadi sudah tiba masanya saya menyumbang untuk industri seni.

“Banyak pengalaman yang saya dapat dan saya suka berurusan dengan orang-orang berseni.

“Saya sekarang selesa dan bidang penerbitan ini sudah menjadi sebahagian daripada saya,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Christina Suzanne semakin 'demand'?

Christina Suzanneii

BINTANG ini pernah mengalahkan nama-nama besar dalam industri termasuk Nora Danish dan Lisa Surihani apabila berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2013.

Menerusi filem KIL, bekas pramugari ini berjaya membawa namanya di tahap yang tersendiri walaupun berdepan dengan saingan sengit dalam industri seni.

Pun begitu, dalam melayari suka duka industri sepanjang penglibatan seni sejak 2006, pastinya ada kontroversi yang menghambat diri pemilik nama sebenar, Cristina Suzanne Stockstill, ini.

Selain kontroversi putus tunang, Cristina yang turut menggunakan nama, Kris Cempaka, ini juga turut berdepan dengan kontroversi lain apabila dia dikatakan semakin demand dan sukar memberikan kerjasama kepada media.

Pantas menyangkal dakwaan itu, Cris memberitahu bahawa pendiriannya itu bukanlah kerana demand atau sukar memberikan kerjasama, namun lebih kepada berhati-hati dalam berkongsi cerita.

"Sekiranya tiada perkembangan seni yang ingin dikongsi, saya agak berat untuk bertemu media. 

"Saya bukan susah nak beri kerjasama, apatah lagi demand kerana saya sedar, saya bukanlah popular mana. Namun, saya lebih utamakan karier kerana tidak mahu anak cucu saya hanya tahu mengenai kontroversi diri saya sahaja," kata wanita kacukan Melayu-Jerman ini.

Turut tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Wanita, di Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM26) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Cris enggan meletakkan harapan tinggi untuk menang.

"Saya akan hadirinya tanpa apa-apa harapan. Menang atau tidak, saya terima dengan hati yang terbuka," katanya yang bakal muncul dalam telefilem terbitan Al Hidayah Production, Mr Istikharah, sempena sambutan Maal Hijrah pada 25 Oktober depan.

- Sumber: Sinar Harian