Wednesday, 12 February 2014

Adenan Satem Ketua Menteri Sarawak ke-5


KUCHING: Selepas menerajui pemerintahan negeri Sarawak selama 33 tahun, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akhirnya menyerahkan surat peletakan sebagai Ketua Menteri.

Perletakan jawatan jawatan beliau berkuatkuasa 28 Februari ini.

Beliau menamakan penasihat beliau, Tan Sri Adenan Satem sebagai pengganti sekaligus menjadi Ketua Menteri Sarawak ke-5 berkuatkuasa 1Mac ini.

Surat peletakan jawatan diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu pertemuan pukul 3.30 petang tadi.

Abdul Taib juga dijangka mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dan calon akan ditentukan oleh Ketua Menteri baru.

Sebelum itu Abdul Taib menghadap TYT Sarawak pukul 3.00 petang yang turut dihadiri barisan pemimpin komponen Barisan Nasional Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual bertemu semua Presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak malam ini.

Muhyiddin turut dijadualkan bertemu Abdul Taib pagi esok.

Astro Awani 

Cuaca panas di Semenanjung dijangka berterusan


KUALA LUMPUR: Cuaca panas dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini dengan hanya beberapa kawasan di Pantai Barat dan Pantai Timur sahaja dijangka mengalami hujan sementara.

Menurut Jabatan Meteorologi, suhu maksimum sekitar Semenanjung Malaysia minggu ini adalah pada 36 darjah selsius berbanding 36 darjah selsius pada minggu lepas.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca jabatan itu, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ini merupakan keadaan yang normal bagi bulan Februari memandangkan ianya merupakan ‘bulan yang kering’.

“Walaupun suhu sekarang agak tinggi, tapi masih pada julat yang normal. Kita rasa sangat panas kerana cuaca yang kering sekarang ini. Jadi apabila dalam cuaca kering, semua pihak perlu berjaga-jaga kerana kebakaran hutan mudah berlaku dan paras air juga mungkin akan terjejas,” katanya.

Helmi menambah, terdapat beberapa kawasan di bahagian utara yang mengalami kemarau sejak 30 hari yang lalu.

“Terutama di utara seperti beberapa kawasan di Arau, Kubang Pasu, Padang Besar serta Langkawi, hujan masih tidak turun hingga sekarang sejak 23 hingga 30 hari yang lepas. Tetapi bukan semua kawasan tidak hujan, hanya beberapa tempat sahaja,” tambahnya lagi.

Astro Awani