Sunday, 5 March 2017

Duta Korea Utara diisytiharkan Persona Non Grata

Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol (tengah) mengadakan sidang media di Kuala Lumpur. - Foto Bernama


SHAH ALAM - Wisma Putra hari ini mengeluarkan perintah kepada Duta Korea Utara, Kang Chol untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam.

Perintah itu dibuat setelah Kang Chol gagal menghadirkan diri ke Wisma Putra di Putrajaya pada jam 6 petang hari ini.

Memetik laporan The Star, Wisma Putra telah menghantar nota kepada kedutaan itu di Jalan Datai, Bukit Damansara berhubung keputusan tersebut.

Dalam masa sama, kerajaan Malaysia menuntut permohonan maaf dari Korea Utara di atas tuduhan berhubung pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam.

“Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik dihantar ke Kedutaan Korea Utara bagi memaklumkan bahawa Kang Chol diisytiharkan sebagai ‘Persona Non Grata’ selepas gagal menghadirkan diri ke mesyuarat itu.

“Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat terbabit sepatutnya berlangsung, 6 petang, Sabtu," katanya dalam satu kenyataan media.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Luar mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara susulan kenyataan biadab dikeluarkan Kang Chol berhubung kes pembunuhan Jong-nam. 

Jong-nam berada di KLIA2 pada 13 Februari bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong-nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

- Sumber: Sinar Harian | 4 Mac 2017

Friday, 3 March 2017

Pasangan pembunuh bertemu jodoh di penjara

Dilli Koirala (kiri) dan Mimkosha Bista - Foto AF


KALIKOT - NEPAL. Seorang lelaki dan wanita yang dipenjara kerana membunuh pasangan masing-masing berkahwin di penjara di barat Nepal.

Bagaimanapun mereka hanya akan dapat bersama dalam tempoh 14 tahun lagi selepas pengantin lelaki dibebaskan.

Pasangan itu ditahan di penjara Daerah Kalikot dimana Dilli Koirola, 33, dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana membunuh isterinya, manakala Mimkosha Bista perlu menjalani 4 tahun lagi penjara kerana membunuh suaminya.

Pasangan itu tidak pernah bertemu antara satu sama lain sebelum melangsungkan perkahwinan yang dipertemukan ibu Koirola yang juga berada di penjara kerana membantu anaknya membunuh isterinya.

"Dia membunuh isterinya dan saya pula membunuh suami saya. Ibunya sukakan saya dan itu adalah satu sebab saya rapatnya dengannya," kata Bista, 30, kepada akhbar Republica ketika ditemui selepas majlis perkahwinan.

"Upacara perkahwinan disaksikan kakitangan penjara dan banduan lain," kata pegawai penjara Sanjay Mahota kepada AFP.

Bagaimanapun pasangan itu tidak dibenarkan untuk tinggal bersama-sama dalam penjara kerana kami mempunyai bahagian berasingan untuk banduan lelaki dan perempuan.

"Tetapi pihak penjara telah membuat keputusan untuk membolehkan mereka bersemuka dua kali sebulan," katanya.

Sementara itu, peguam Danam Raj Bam yang menghadiri perkahwinan luar biasa itu memberitahun AFP, pasangan itu mengambil keputusan untuk berkahwin kerana mungkin tidak akan bertemu pasangan lain yang bersedia menerima mereka.

"Oleh kerana kami melakukan jenayah yang sama, kami tidak akan berada di dalam situasi di mana mereka akan memandang rendah antara satu lain," kata Koirola.

Penjara Daerah Kalikot adalah penjara kecil di luar bandar barat Nepal dengan hanya 53 tahanan - 50 lelaki dan tiga wanita.

- Sumber: AFP | 3 Mac 2017