Saturday, 11 February 2017

"Kalau harga minyak naik lebih RM3, kita tambah BR1M"


KERAJAAN sedia menambahkan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya harga minyak petrol melebihi paras RM3 seliter.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Golongan B40 terdiri daripada golongan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

"Kerajaan akan terus memantau harga minyak petrol di pasaran. Sekiranya harga terus meningkat dan pendapatan negara bertambah, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan untuk terus membantu golongan yang berpendapatan rendah.

"Sekiranya harga minyak terus naik melebihi RM3 seliter, kami faham keadaan yang bakal dialami oleh golongan B40 ini. Kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme," kata Johari seperti yang dipetik dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, BR1M sebanyak RM1,200 pada masa itu tentunya tidak mencukupi lagi, oleh itu kerajaan akan meningkatkan jumlah bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. Bagaimanapun, sekiranya harga minyak merosot, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. 

Johari turut berkata, kerajaan juga mengkaji pelaksanaan di beberapa negara maju dengan membiarkan harga minyak terapung dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

“Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada penggiat industri minyak dan gas mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, itu terpulang kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti. 

"Namun sebelum melaksanakannya, kerajaan perlu mengkaji apa kesan dan akibatnya kelak,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian |  11 Februari 2017

Penyamun tercicir wang RM70,000

Antara kepingan emas yang ditemui dalam beg.

SHAH ALAM – Sekumpulan penyamun berputih mata selepas hasil rompakannya berjumlah kira-kira RM70,000 tercicir.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, kelmarin, sekumpulan penjenayah memecah masuk rumah teres dua tingkat di U11 Bukit Bandaraya, dekat sini, milik ahli perniagaan catering.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 30 tahun bersama isteri dan seorang anaknya sedang di tidur di ruang tamu selepas pulang daripada kerja-kerja katering.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terjaga selepas mendengar ada perkakasan dapur terjatuh di bahagian bawah rumahnya

“Mangsa kemudian bergegas melihat kejadian sebelum mendapati pintu rumahnya yang terbuka selain pagar belakang yang dipotong.

“Mangsa yang turut menjalankan perniagaan jual beli emas itu kemudiannya bergegas membuat panggilan polis,” katanya.

Beliau berkata, polis yang tiba telah membuat pemeriksaan di sekitar rumah mangsa sebelum menemui sebuah beg berisi beberapa kepingan emas dan wang tunai dianggar berjumlah RM70,000 milik mangsa.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis percaya suspek terdiri lebih daripada dua individu.

“Usaha memburu suspek masih giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian | 11 Februari 2017