Friday, 22 May 2015

Terkini: Kapal korek karam ditunda ke Tanjung Punggai



APMM menggunakan khidmat sebuah kapal tunda milik Jabatan Laut untuk melakukan kerja pengalihan kapal itu pada 11 pagi Khamis.

JOHOR BAHRU: Kapal korek yang karam di perairan Pengerang pada Rabu, ditunda ke lokasi pada kedudukan 1.2 batu nautika dari darat Tanjung Punggai, Kota Tinggi di sini Khamis malam.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata operasi pengalihan mengambil masa kira-kira lapan jam iaitu selesai pada 8 malam Khamis.

"Pada masa ini, kami tidak pasti sama ada operasi akan diteruskan untuk menyelam ke kapal berkenaan ataupun sebaliknya.

"Apa-apa maklumat akan kami beritahu kelak," kata beliau ketika yang dihubungi di sini sebentar tadi.

APMM menggunakan khidmat sebuah kapal tunda milik Jabatan Laut untuk melakukan kerja pengalihan kapal itu pada 11 pagi Khamis.

Seramai 10 penyelam dari Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia turut siap siaga bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat mangsa di dalam kapal, sejurus ia berjaya ditunda.

Di SINGAPURA, Pihak Berkuasa Pelabuhan Maritim (MPA) dalam kenyataan hari ini berkata kapal pengorek pasir Oceanline SC208 yang terbalik dan hanyut ke perairan Malaysia, telah ditunda ke kawasan terlindung di wilayah Malaysia pagi ini.

MPA Singapura berkata 14 anak kapal berkenaan - 13 rakyat China dan seorang rakyat Malaysia - masih belum ditemui.

Katanya, beberapa kapal MPA, Tentera Laut Republik Singapura dan Pengawal Pantai Singapura meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara itu.

Menurut kenyataan itu, MPA juga menghubungi kapal dagang yang melalui perairan berkenaan supaya membantu mengesan mereka yang masih hilang dan melaporkan sebarang penemuan kepada Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim di republik itu.

Pada Rabu, MPA menerima laporan bahawa kapal berdaftar di Bolivia itu terbalik 7.5 batu nautika di timur laut Pulau Batu Puteh di perairan Singapura.

- Sumber: Bernama

Isu beras plastik membimbangkan Malaysia



Berita penjualan beras tiruan atau dikenali sebagai beras plastik di negara jiran Malaysia kini membimbangkan rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Berita penjualan beras tiruan atau dikenali sebagai beras plastik di negara jiran Malaysia kini membimbangkan rakyat Malaysia.

Memetik laporan mStar, besar plastik yang biasanya dijual di pasaran China terutamanya di Taiyuan di Wilayah Shaanxi kini percayai tersebar di negara-negara lain seperti India, Indonesia, dan Vietnam.

Malah, ada beberapa sumber yang menyatakan bahawa beras ini juga diseludup masuk ke pasaran Singapura dan Malaysia. 

Beras plastik yang dihasilkan dengan penggunaan kentang, keledek manis dan resin sintetik bagi menyerupai bentuk beras yang sebenar ini akan memudaratkan kesihatan pembeli. 

Difahamkan, pengguna boleh mengenal pasti ketiruan beras itu apabila beras itu dimasak, kerana ia akan tetap berkelihatan keras walaupun ditanak.

Menurut menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek, siasatan telah diarahkan oleh mereka dan pihak berkuasa di Malaysia akan memandang ringan terhadap isu ini. 

"Saya ada mendengar mengenai berita beras palsu atau beras plastik yang dijual murah. Berita itu boleh menjadi benar atau palsu. Kita tidak tahu mengenainya tetapi kami akan menjalankan siasatan di seluruh negara," katanya dipetik dari laporan mStar.

Hassan juga menyatakan bahawa siasatan mereka akan ditumpukan pada kedai-kedai kecil di bandar dan luar bandar kerana beras ini tidak mungkin dijual di pasar raya.

Beliau juga menjelaskan bahawa perbuatan seludup beras bukan perkara yang mudah kerana pemborong Malaysia harus melalui peraturan yang ketat sebelum dihantar ke pasaran melainkan jika beras itu diseludup melalui negeri-negeri. 

- Sumber: Astro Awani