Friday, 24 April 2015

Berebut tengok bayi empat tangan

Bayi yang dilahirkan dengan empat anggota kaki dan tangan. - Foto Caters

DUMRI ISRI - INDIA. Beribu-ribu penganut agama hindu membanjiri sebuah perkampungan di sini untuk melihat seorang bayi lelaki yang dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan.

Penduduk di sekitar bandar kecil Dumri-Isri menyambut kedatangan bayi berkenaan kerana mereka menganggap dia adalah penjelmaan kepada tuhan mereka.

Kuntalesh Pandey memberitahu media tempatan, dia sanggup menjelajah 72 kilometer semata-mata mahu melihat bayi berkenaan.

"Apabila seorang rakan menghantar gambar berkenaan, saya menyangka ia hanyalah rekaan namun selepas mengetahui ia adalah benar, saya terus ingin melihat bayi berkenaan", katanya dipetik Mirror.uk.

Keadaan ibu bayi berkenaan, Ureda Khatun masih tidak diketahui.

Bayi ini bukanlah bayi yang pertama disanjung seperti tuhan di India, tahun lepas, kanak-kanak lelaki yang dilahirkan mempunyai ekor sepanjang 7 inci juga turut disanjung.

- Sumber: Sinar Harian 

Kaum misteri di Lautan Andaman

Suku kaum misteri yang mendiami Pulau Sintinel Utara

DARI udara pulau ini kelihatan sangat menakjubkan dengan keindahan pantai dan hutan namun tiada pelancong atau nelayan yang berani menjejakkan kaki ke pulau yang terletak berdekatan Laut Andaman.

Pulau Sintinel Utara terletak di Teluk Bengal dan kepunyaan negara India didiami oleh satu kaum misteri kira-kira 60,000 tahun lalu.

Sesiapa yang mendekati kawasan terbabit pasti akan diserang oleh suku kaum misteri tersebut yang menolak peradapan moden dan lebih suka untuk tidak mempunyai hubungan dengan dunia luar.

Interaksi yang melibatkan mereka hanyalah melalui keganasan.

Pada tahun 2006, suku kaum tersebut telah membunuh dua lelaki yang memancing berdekatan perkampungan mereka malah suku kaum itu turut akan melemparkan batu dan anak panah kepada kapal terbang dan helikopter yang membuat tinjauan di kawasan berkenaan.

Pulau tersebut tidak tercemar dengan arus kemodenan namun tiada banyak maklumat yang diketahui mengenai warganya, bahasa dan upacara ritual yang diamalkan mereka.

Adalah sangat bahaya untuk mendekati suku kaum tersebut kerana kesukaran mereka untuk menerima orang luar.

Gambar atau video tidak pernah dirakam secara dekat dan jika ada hanyalah gambar yang berjaya diambil dalam kualiti yang rendah.

Menurut Pengarah Survival International, Stephen Corry berkata, suku kaum itu dikenali sebagai "suku kaum zaman batu" dan merupakan suku kaum yang paling terpinggir di dunia di mana kerajaan India sendiri tidak masuk campur dalam urusan mereka.

- Sumber: Sinar Harian