Thursday, 26 March 2015

Arab Saudi mula bom Yaman


Arab Saudi mengumumkan pelancaran kempen ketenteraan di Yaman semalam selepas pihak pemberontak menguasai sebahagian besar negara tersebut.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Arab Saudi mengumumkan pelancaran kempen ketenteraan di Yaman semalam selepas pihak pemberontak menguasai sebahagian besar negara tersebut.

Menurut duta Arab Saudi di Amerika Syarikat (AS), Adel al-Jubeir memberitahu bahawa Arab Saudi adalah sebahagian dari gabungan 10 buah negara yang akan menghentikan kemaraan pihak pemberontak Houthi.

"Kami akan buat apa sahaja untuk melindungi negara kami," kata Adel dipetik dari NY Times.

Bagaimanapun, Adel tidak memberitahu nama-nama negara terlibat dalam gabungan tersebut, namun mengatakan terdapat negara Teluk Parsi lain terlibat.

Beliau juga menafikan penglibatan AS dalam operasi tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

Wanita dibunuh selepas lihat kejadian bunuh

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dibunuh selepas menyaksikan kejadian bunuh di hadapan sebuah pusat karaoke di Jalan PJS 8/13 di Sungai Way, dekat sini, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata dalam kejadian kira-kira 1.25 pagi itu, tiga suspek lelaki pada mulanya menyerang seorang lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun.

"Mereka menggunakan parang dan rantai untuk menyerang mangsa di kaki lima sehingga mati, dan ketika itu wanita tersebut melihat kejadian berkenaan. 

"Wanita itu turut dibunuh," kata Azmi ketika dihubungi. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai menjurus kepada dendam terhadap pemuda Indonesia itu. 

Katanya, kedua-dua mayat berkenaan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. 

- Sumber: Bernama