Thursday, 12 March 2015

Betulkah: Coklat Cadbury tertera gambar babi?

Coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang didakwa tertera gambar babi.

Resit pembelian coklat cadbury tersebut yang didakwa tertera gambar babi.

SHAH ALAM - Cadbury Malaysia hari ini menafikan bahawa coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang tertera gambar babi adalah keluarannya.

Ketua Perhubungan Hal Ehwal Korporat Cadbury, Raja Zalina Raja Safran berkata, produk tersebut adalah produk import dan bukan dihasilkan di Malaysia.

“Produk ini diimport pihak ketiga yang bebas mengimport mana-mana produk keluaran luar negara. 

“Pengimportan atau pembelian mana-mana coklat keluaran Cadbury oleh pihak ketiga adalah di luar kawalan pihak Cadbury Malaysia dan kami tidak mempunyai hak untuk menyekat mahupun mengawal mana-mana pihak yang ingin membeli dan menjual produk-produk tersebut.

“Sekiranya pengguna ingin maklumat lanjut tentang produk tersebut sila hubungi pihak penjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zalina coklat Cadbury keluaran Malaysia adalah dijamin halal oleh itu beliau menasihati pengguna agar hanya memilih coklat Cadbury keluaran Malaysia bagi mengelak berlakunya sebarang pembelian yang mengelirukan.

“Kami ingin meyakinkan para pengguna bahawa kesemua Coklat Cadbury yang diperbuat di Malaysia mematuhi Sijil Halal Malaysia dan ia merangkumi lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk berkenaan. 

“Jadi nasihat kami, pengguna harus memilih Coklat Cadbury keluaran Malaysia,” jelasnya.

Terdahulu, seorang pengguna telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya di media sosial apabila, terbeli coklat Cadbury bergambar babi baru-baru ini.

- Sumber: Sinar Harian 

Emma sedia terima lamaran Zizan


“SIAPALAH saya untuk hukum dia lama-lama. Sebelum ini pun saya tidak pernah beri sebarang kenyataan yang memang tidak ada ruang langsung atau pintu hati saya tertutup buat dia,” jelas aktres Emma Maembong mengenai kisah cintanya dengan pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak.

Sebelum ini, nama pasangan popular ini sering menjadi tumpuan lantaran kisah cintanya yang sering dilanda kontroversi.

Mengulas lebih lanjut, pelakon Hantu Wefie itu bagaimanapun mengakui tidak serik bercinta lagi, tetapi menyerahkannya kepada takdir ALLAH.

“Kalau ada jodoh pada masa hadapan dan pada masa sama dia mengajak saya berkahwin, maka saya akan terima. Tak payah bercinta lama-lama.

“Tapi buat sementara waktu biarlah dulu perkara ini berlalu lagi pun saya kini tak mahu menaruh harapan padanya,” katanya ketika ditemui pada Sesi Tayangan Eksklusif Episod Akhir Suamiku Encik Sotong di The Strand Mall, Kota Damansara, kelmarin.

Pada masa sama, Emma memberitahu, apa yang berlaku tidak menjadi halangan buat dirinya menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya dan Zizan masih lagi berhubung dan saya tak pernah cakap kami bermusuh disebabkan perkara ini.

“Sekarang masing-masing sibuk fokus dengan karier seni. Apa pun yang berlaku, kehidupan mesti diteruskan,” ulasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Emma memberitahu, dia baharu tamat menjalani penggambaran drama bersiri Isteri Separuh Masa arahan Micheal Ang yang bakal bersiaran mulai 16 Mac ini.

- Sumber: Sinar Harian