Sunday, 28 December 2014

Aktiviti golf bersama Obama demi hubungan diplomasi negara - Najib

Najib Razak berkata aktiviti itu telah dirancang lebih awal atas dasar menjalinkan hubungan diplomasi dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mendatangkan manfaat kepada Malaysia. - Foto Berl

KOTA BHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan aktiviti bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii baru-baru ini tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan bencana banjir di negara ini seperti yang dipolemikkan sesetengah pihak.

Sebaliknya, perdana menteri berkata aktiviti itu telah dirancang lebih awal atas dasar menjalinkan hubungan diplomasi dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mendatangkan manfaat kepada Malaysia.l

Tambahan pula, katanya, jemputan itu telah disampaikan sewaktu Obama melawat negara ini April lepas dan amat sukar untuk beliau menolaknya kerana ia telah dirangka lebih awal dalam jadual kedua-dua pihak.

Bercakap pada sidang media di sini selepas meninjau kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan, beliau berkata: "Sebenarnya, waktu Presiden Obama melawat Malaysia, beliau menyatakan kalau kebetulan saya berada di Hawaii dengannya (Obama), dia nak saya main golf dengan dia.

"...dan main golf ini bukanlah satu perkara aneh atau luar biasa...sebab zaman Tun Abdul Razak (perdana menteri kedua Malaysia), Tun Dr Ismail Abdul Rahman (timbalan perdana menteri kedua) bermain golf dengan pemimpin dunia merupakan perkara yang boleh dikatakan sebagai 'golf diplomacy'.

Najib berkata walaupun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, beliau mengambil keputusan untuk memendekkan cutinya dan terus terbang ke Kota Baharu untuk melihat sendiri perkembangan situasi banjir.

"Setiap hari saya di sana saya terima laporan terkini tentang keadaan banjir ... oleh kerana ia semakin serius saya buat keputusan balik ke tanah air secepat mungkin dan terus ke Kota Baharu. Saya tak balik rumah lagi ni.

"Dan (saya) buat lawatan segera untuk menunjukkan bahawa kerajaan amat komited untuk terus membantu mangsa banjir," katanya.

Banjir di Kelantan kini semakin meruncing apabila puluhan ribu penduduk mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara. 

- Sumber: Bernama 

Gadai nyawa redah banjir ambil kertas SPM

  •  Mayat Suhaimi Awang, 37, yang dijumpai kira-kira 10 meter dari mayat isterinya, Norhayati Sulong, 37, yang ditemui jam 4.05 petang semalam dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Kemaman, hari ini. - Foto Sinar Harian
  • Mayat Suhaimi Awang, 37, yang dijumpai kira-kira 10 meter dari mayat isterinya, Norhayati Sulong, 37, yang ditemui jam 4.05 petang semalam dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Kemaman

KEMAMAN - Guru, Nurhayati Sulong sanggup bergadai nyawa berpatah balik ke rumahnya dalam keadaan banjir yang semakin buruk semata-mata untuk mengambil kertas peperiksaan SPM yang belum diselesaikan.

Dan dalam perjalanan semula ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Geliga, Nurhayati, 37, maut bila bot yang dinaikinya terbalik dihanyutkan arus deras Rabu lalu.

Suami Nurhayati, Suhaimi Awang, 37, turut terkorban dalam tragedi itu yang berlaku bila bot berkenaan karam selepas terperangkap dalam pusaran air di Kampung Che Akob, di sini.

Tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir lain bersama mereka selamat. 

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman cukup terharu dengan tragedi itu.

"Saya amat merasa tersentuh dengan apa yang berlaku kerana saya dapat maklumat Allahyarham Cikgu Nurhayati ini, dia pulang ke rumah semata-mata hanya untuk mengambil kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih belum selesai ditanda.

"Ini satu pengorbanan yang sangat besar. Dia seorang guru yang hebat. Tanpa memikirkan keselamatan diri, beliau tetap nak balik mengambil kertas soalan SPM," katanya.

Menteri Besar bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kemaman selepas menziarahi jenazah Suhaimi hari ini.

Sebagai menghargai khidmat bakti pasangan itu, Ahmad Razif berkata pihaknya akan menjaga segala kebajikan dan pendidikan serta akan mengambil keenam-enam anak mangsa sebagai anak angkat kerajaan negeri.

Mereka ialah Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4; serta anak bongsu Nor Adifa Arissa, yang merupakan bayi berusia 4 bulan.

"Bantuan khas kepada anggota keluarga mangsa akan kita putuskan sebaik selesai urusan pengkebumian," kata Ahmad Razif.

Mayat Nurhayati ditemui tersangkut pada ranting kayu kira-kira 4.25 petang semalam kira-kira 700 meter dari tempat bot mereka terbalik manakala mayat suaminya pula ditemukan kira-kira pukul 12.20 tengah hari ini kira-kira 10 meter dari lokasi isteri.

Dalam pada itu ibu kepada Suhaimi, Zariah Awang Jusoh, 70, berkata beliau sedih mengenangkan hasrat Allahyarham yang tidak kesampaian.

Mereka sekeluarga sepatutnya menyertai 'reunion' Sekolah Menengah Agama Al Falah Kemaman pada Khamis lepas dan bercuti di Johor pada Jumaat (semalam), kata Zariah. 

- Sumber: Bernama