Wednesday, 12 November 2014

HIV meningkat di Kelantan, Nik Abduh salahkan Thailand

Nik Abduh meminta pihak yang prihatin agar sama-sama membantu Kelantan dalam menangani ancaman HIV dan AIDS. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Statistik HIV dan AIDS yang tinggi di Kelantan adalah disebabkan negeri tersebut bersempadan dengan Thailand, yang mudah menawarkan dadah dan pelacur, kata Ahli Jawatankuasa Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz.

Beliau berkata demikian dalam sebuah forum bertajuk "Hukuman Tinggal Solat Jumaat Di Kelantan: Mencari Batas Kuasa Kerajaan dan Kebebasan Rakyat" di ibu negara malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, Perlis dan Perak, kerana akses keluar masuk yang mudah melalui Golok.

“Jika kita lihat negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand, di manakah bandar-bandar negara itu yang terkenal dengan aktiviti pelacuran?” tanya Nik Abduh sambil menekankan cabaran itu sebenarnya sangat hebat dihadapi Kelantan.

Nik Abduh mengakui kerajaan negeri sedar akan masalah tersebut. Selain mengetengahkan permasalahan tersebut melalui wakil kerajaan negeri di Parlimen, Kelantan juga telah meminta bimbingan Putrajaya untuk mengatasinya.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, tolonglah bantu Kelantan. Adalah salah untuk mengatakan bahawa Kelantan tidak ada idea.

“Kami telah mencuba sedaya upaya memberi kesedaran kepada penduduk Kelantan dalam usaha mengurangkan kes AIDS,” kata beliau.

Kelantan merupakan negeri kedua dengan kes HIV tertinggi di negara ini selepas Selangor, kata laporan Yayasan AIDS Malaysia.

Setiausaha Agung yayasan berkenaan, Hisham Hussein berkata, terdapat 207 kes baharu telah dilaporkan di Kelantan daripada sebanyak 3,393 kes di seluruh negara.

- Sumber: Astro Awani

Balotelli kembali bersama Azzurri

Balotelli (dua, kiri) kembali menjalani sesi latihan bersama Itali, semalam.

PENYERANG sensasi Liverpool, Mario Balotelli kembali dipanggil menyarung jersi pasukan kebangsaannya, Itali menjelang aksi Kelayakan Piala Euro 2016 peringkat Kumpulan H, menentang Croatia, Isnin depan.

Walaupun dinilai kurang menyengat bersama The Reds, jurulatih Azzurri, Antonio Conte mempunyai alasan tersendiri memanggil semula Balotelli.

“Sebab dia dipanggil kerana saya mahu melakukan perubahan. Anda tidak boleh menilai dengan khabar angin semata-mata sebaliknya perlu menilainya dengan lebih dekat.

“Saya harus menguji para pemain dan melihat apakah mereka mempunyai persamaan dalam mencorak permainan yang akan saya terapkan,” katanya.

Nama Balotelli sebelum ini tidak disenaraikan dalam dua aksi kelayakan menentang Azerbaijan dan Malta.

Conte yakin Balotelli yang mempunyai banyak pengalaman bersama Azzurri mampu menyumbangkan sesuatu yang berharga.

“Dia harus membuktikan bahawa dia boleh menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian