Tuesday, 26 August 2014

'Ice Bucket Challenge': Tiada risiko besar kesihatan kepada peserta

Khairy menyambut cabaran ALS Ice Bucket Challenge baru-baru ini. - Gambar fail

Tiada risiko bersifat major yang akan berlaku kepada mereka yang menyertai ‘Ice Bucket Challenge’ (Cabaran Baldi Ais) yang ketika ini sedang viral di media sosial, kata doktor pakar.

Menurut Ahli Jawatankuasa Persatuan Integrasi Perubatan Profesional Malaysia (MIMPA) Dr Rahmat Harun, cabaran tersebut hanya berisiko tinggi terhadap mereka yang berusia atau mempunyai masalah kesihatan yang ekstrim seperti kencing manis.

"Ia tidak mendatangkan risiko yang besar kerana rasa kesejukan seketika di kepala. Ia berbeza dengan ‘brain freeze’ yang didapati jika mengambil makanan sejuk seperti ais krim. Brain freeze belaku apabila rasa sejuk memberi kesan kepada suhu teras badan. Air dan ais yang digunakan dalam cabaran ini dituang dari jauh, jadi ianya tidak memberi kesan yang banyak ke atas suhu badan.

"Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai keadaan kesihatan yang ekstrim seperti kencing manis, tubuh mereka tidak mampu menerima kesejukan secara tiba-tiba. Ini boleh menyebabkan kejutan kepada badan dan mungkin boleh menyebabkan pengsan," kata Dr Rahmat yang juga seorang pakar bedah.

Selain dari risiko yang minima, Dr Rahmat tidak menggalakkan orang ramai menyertai cabaran ini tanpa memahami tujuan ia dilakukan.

“Mungkin ramai yang melakukan 'Ice Bucket Challenge' sekadar suka-suka dan sekadar mahukan ianya menjadi trending. Mereka mungkin tidak tahu apa itu ALS.

“Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari merupakan salah seorang penderita penyakit ALS. Sekiranya ianya (Ice Bucket Challenge) dilakukan untuk mendatangkan kesedaran ke atas penyakit berkenaan, tidak mengapa,” jelas Dr Rahmat lagi.

ALS Ice Bucket Challenge merupakan kempen untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) di mana peserta harus menyiram sebaldi air berisi ais ke tubuhnya lalu mencalonkan tiga orang yang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Jika mereka yang dicalonkan tidak dapat melakukannya, mereka harus menyumbangkan USD100 ke Yayasan ALS. Ini bertujuan bagi mengutip derma untuk membiayai pusat penyelidikan dan mencari penawar untuk penyakit tersebut.

Tujuan menyimbah ais ke tubuh seseorang adalah kerana kesan yang dirasai adalah sama dengan apa yang dirasai oleh penghidap penyakit ALS.

ALS atau disebut juga sebagai Lou Gehrig, adalah sejenis penyakit yang mengganggu urat saraf di dalam otak dan saraf tunjang.

Gangguan saraf ini kemudiannya akan menjadikan pesakit itu lumpuh dan akhirnya meninggal dunia.

Cabaran mandi ais ini menjadi viral di Amerika Syarikat apabila sahabat karib kepada bekas Kapten Besbol Boston College, Pete Frates telah disahkan mengidap ALS dan sahabatnya mencabar rakan sepasukan yang lain untuk menyertai cabaran tersebut.

Cabaran itu kemudiannya menjadi viral di media sosial dengan penyertaan ramai selebriti Hollywood seperti Justin Bieber, Lady Gaga, Dave Grohl dan ramai lagi.

Di Malaysia, bukan sahaja dari kalangan selebriti malah tokoh politik seperti Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan turut menyertai cabaran ini. - Astro Awani

Aksi pengantin separuh bogel di Ipoh

Pasangan tersebut menjalani sesi fotografi mereka dalam keadaan separuh bogel. - Gambar laman media sosial
KUALA LUMPUR: Media sosial sekali lagi dikejutkan dengan aksi 'bogel' apabila sepasang kekasih yang dipercayai baru berkahwin, menjalani sesi fotografi mereka dalam keadaan separuh bogel.

Menurut beberapa laman blog di mana foto pasangan itu tersebar, kedua-dua pengantin itu kelihatan menjalani sesi tersebut dan berjalan di sekitar Jalan Sultan Yussof, Ipoh, Perak pagi tadi.

Dalam foto yang tersebar di Facebook dan Twitter itu, wanita tersebut kelihatan hanya memakai baju dalam dan seluar dalam putih beserta kain layah menutup kepala, manakala pasangannya hanya memakai seluar panjang hitam dan tidak berbaju.

Selain gambar, terdapat juga video pasangan tersebut yang dimuatnaik oleh pengguna di Facebook.

Sementara itu, polis Perak mengesahkan akan mengambil tindakan terhadap pasangan tersebut di atas kelakuan mereka yang disifatkan 'tidak bermoral dan berakhlak', lapor Berita Harian hari ini.

Menurut akhbar tersebut, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan akan menyiasat kejadian tersebut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.

Pada 5 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan satu pesta sukan bogel yang dipanggil 'Malaysia Nude Sports Games 2014' di Pulau Pinang yang difahamkan diadakan sekitar Jun lepas.

Ia mendapat perhatian orang ramai dan pihak berkuasa selepas gambar dan juga video berdurasi 5 minit 22 saat yang dikatakan dirakam di sebuah pulau di Teluk Bahang, Pulau Pinang tersebar di beberapa blog dan laman sosial pada Selasa. - Astro Awani