Saturday, 2 August 2014

SMS akhir sebelum ditemui mati

Ganesan (depan, kanan) sedang menguruskan mayat adiknya di Hospital Tuanku Ja'afar, semalam. Gambar kecil: Mangsa, Mhittren Ezhuthachan
Ganesan (depan, kanan) sedang menguruskan mayat adiknya di Hospital Tuanku Ja'afar, semalam. Gambar kecil: Mangsa, Mhittren Ezhuthachan

SEREMBAN - “Ibu, tolong saya,” itu kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang sempat dihantar M Mhittren Ezhuthachan, 21, kepada keluarganya sebelum ditemui mati dalam kawasan semak berhampiran tangki air di Taman Mahkota Hill, Lenggeng, Nilai kira-kira jam 7 petang kelmarin.

Menurut abang mangsa, M Ganesan, 30an, gara-gara tidak sedap hati dengan SMS diterima pada Khamis lalu sekitar jam 12.30 pagi itu menyebabkan ibunya bergegas membuat laporan polis lebih kurang setengah jam kemudian.

“Hancur luluh hati kami sekeluarga apabila dimaklumkan punca kematian Mhittren berkemungkinan akibat dibunuh,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, semalam. 

Menceritakan semula saat-saat kehilangan adiknya, Ganesan berkata, lazimnya Mhittren akan balik awal setiap kali keluar rumah. Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku pada Rabu lalu.

“Dia keluar lebih kurang 9 malam kerana mahu berjumpa teman rapat yang tinggal di taman perumahan sama dengan kami. Namun, dia masih tidak pulang walaupun sudah mencecah tengah malam.

“Lebih merisaukan, panggilan kami langsung tidak berjawab selepas ibu menerima SMS terakhir daripada Mhittren,” katanya yang berharap individu bertanggungjawab atas kematian adiknya akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang memproses air mineral dan menetap di Taman Ulu Beranang, Lenggeng, Nilai dijumpai dalam keadaan terlentang, kira-kira satu kilometer dari jalan
utama Lenggeng - Broga. 

“Pencarian dilakukan pihak polis berdasarkan laporan dibuat oleh ibu mangsa yang memberitahu anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar jam 9 malam dengan menaiki motosikal Honda EX5, Rabu lalu.

“Siasatan awal kita menemukan luka pada kening kanan mangsa, dipercayai dipukul menggunakan sejenis objek tumpul. Selain itu, terdapat kesan lebam pada bahagian dada dan luka seakan-akan melecet pada ketiak kanan mangsa,” katanya.

Menurut Abdullah, mayat mangsa kemudian dibawa ke HTJ untuk bedah siasat, sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian. 

“Setakat ini, polis telah menahan reman seorang lelaki selama tujuh hari dalam usaha mengenal pasti motif pembunuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian 

Israel mula sasar Malaysia?

Hubungan baik Malaysia dengan kerajaan Hamas, seperti dibuktikan melalui pertemuan Najib dengan Ismail (kanan) di Gaza dilihat menimbulkan rasa tidak senang Israel.
Hubungan baik Malaysia dengan kerajaan Hamas, seperti dibuktikan melalui pertemuan Najib dengan Ismail (kanan) di Gaza dilihat menimbulkan rasa tidak senang Israel.

SHAH ALAM - Pendirian tegas Malaysia dalam menyokong pejuang Palestin untuk mendapatkan semula hak mereka yang dirampas negara haram Israel nampaknya semakin membuatkan rejim Zionis itu tidak senang duduk.

Terbaharu, The Jerusalem Post, iaitu media Israel yang digunakan untuk menghebahkan propaganda kerajaan Zionis semalam mendakwa seorang tentera Hamas dari unit Al-Qassam bersama sembilan anggota lain menjalani latihan di Malaysia pada 2012 tentang cara melakukan serangan merentasi sempadan menggunakan payung terjun.

Pendedahan tersebut kononnya dibuat oleh seorang komander Hamas kepada agensi keselamatan Israel, Shin Bet dalam siri soal siasat selepas beliau ditahan di Khan Yunis, Gaza pada 21 Julai lalu.

Anggota Hamas itu didakwa mendedahkan bahawa beliau menerima latihan dalam serangan menggunakan payung terjun serta cara menculik askar sebagai sebahagian daripada persediaan untuk menentang serangan darat tentera Israel di Gaza.

"Suspek menyertai Hamas pada 2007 dan menjadi sebahagian daripada unit tentera Hamas, Al-Qassam.

"Beliau menjadi cekap dalam penggunaan senapang automatik Kalashnikov dalam pelbagai posisi menembak," menurut The Jerusalem Post.

Namun, laporan itu tidak menyebut pihak di Malaysia yang didakwa menyediakan latihan itu kepada anggota Hamas tersebut.

Sementara itu, laporan Astro Awani semalam menyebut, Hamas menafikan tuduhan Shin Bet itu.

Menurut pemimpin kanan Hamas, Dr Khaled Qadoumi, rejim Zionis mengolah propaganda itu untuk menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.

“Israel sedang mengalami kekalahan moral yang teruk dalam operasi ketenteraannya kali ini di Gaza dan mereka cuba menjejaskan sokongan sebuah negara Islam yang proaktif dan kuat terhadap warga Palestin,” kata Khaled seperti dilaporkan Astro Awani.

Hamas juga menyifatkan Malaysia menjadi sasaran penipuan Tel Aviv kerana peranan luar biasa kerajaan dan rakyat negara ini dalam memperjuangkan Palestin di pentas global.

“Israel adalah penipu besar. Kenapa tuduh Malaysia? Kerana Malaysia sebuah negara Islam yang bebas serta berani sentiasa berada di sisi rakyat Palestin di Gaza yang terus sengsara,” tegas Dr Khaled yang turut menyeru semua pihak di Malaysia tidak terpengaruh dengan penipuan dan permainan propaganda Israel.

Sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza menjadi perhatian dunia terutamanya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan rasmi ke wilayah tertindas itu dan bertemu dengan pemimpin Hamas yang juga Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh pada Januari 2013.

Lawatan Najib itu mendapat perhatian luar biasa dan liputan meluas media terutama di Amerika Syarikat kerana beliau merupakan pemimpin dari luar negara Arab yang pertama melawat Gaza.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menganggap lawatan itu sebagai langkah berani dan bersejarah oleh Najib.

"Malaysia sentiasa menerajui sokongan terhadap isu Palestin melalui pertubuhan badan bukan kerajaan (di negara ini). Kami menggesa semua kerajaan yang adil untuk menuruti langkah Malaysia," menurut PCOM semasa mengulas lawatan itu. - Sinar Harian