Sunday, 23 March 2014

Chef Wan: Saya hanya nak duga

Chef Wan
Chef Wan


LEBIH dua minggu hilang di awan biru tanpa khabar berita, sehingga kini, kehilangan MH370 masih dianggap misteri.

Namun, penemuan serpihan kapal terbang di Perth, Australia, memberi seribu harapan buat masyarakat di seluruh dunia.

Di saat masyarakat sedang menunggu berita kesahihan mengenai penemuan itu, muncul pula jenaka daripada chef selebriti terkenal, Chef Wan.

Menerusi akaun, Instagramnya, Chef Wan telah berkongsi foto dan tulisannya menjurus kepada penemuan serpihan berkenaan.

Antara kata-katanya berbunyi, "2 'object' di Perth dan satu ni i ingatkan ya la sebahagian dari pintu kapal terbang MAS. Tapi setelah diteliti rupanya ianya sebahagian dari pintu jamban rumah Cik Kiah di pantai Morib yang telah usang rupanya. Adoi.. frustnya".

Walaupun ianya lebih kepada gurauan, namun tulisan Chef Wan nyata memberi renjatan buat masyarakat dan ramai yang berpendapat gurauan sebegitu sangat tidak bersesuaian dengan situasi sekarang.

Setelah menerima pelbagai bentuk kecaman dan kritikan daripada pengikut di laman sosialnya itu, Chef Wan bertindak memadam gambar berkenaan untuk tidak memanaskan isu ini lagi.

Tidak mahu memanjangkan perkara ini, Chef Wan juga turut memberi penjelasan mengenai tindakannya itu.

"Masa di pantai pagi tadi, saya beritahu semua kru untuk membuat gurauan dan sekali gus menduga reaksi masyarakat Malaysia yang suka melatah dan mengutuk orang.

"Pemandu saya kata, janganlah CW (Chef Wan), nanti orang cari sebab nak marahkan awak walaupun hanya bergurau.

"Kru-kru ketawa berderai dan saya letakkan gambar di IG (Instagram). Tak sampai 10 minit, penulis blog tempatan menghubungi saya. Betullah sangkaan saya, orang Malaysia suka cari sebab untuk burukkan orang walaupun ianya hanya gurauan
semata," katanya yang memberi penjelasan di laman berkenaan.

Terima kritikan

Tambah Chef Wan, apa sahaja kritikan yang dilemparkan, dia menerimanya dengan hati yang terbuka.

Selain memberikan penjelasan kepada mereka yang kurang faham mengenai gurauan berkenaan, Chef Wan juga turut menempelak pihak lain yang gemar memanipulasikan isu seumpama ini.

"Saya dah beritahu cerita yang sebenar, dan selepas ini, kita lihat cara mereka (blog dan media) melatah dengan menyebarkan berita-berita ini dan melakukan fitnah pula.

"Let us see their true colors. Remember what i said at the end of the day, the wiseman will have the last laugh watching all this drama unfold," katanya lagi.

Sementara itu, anak perempuan chef terkenal ini, Serina Redzuawan, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan bapanya itu.

"Saya tak mahu komen apa-apa kerana bapa saya sudah pesan awal-awal agar saya tidak mencampuri urusan sebegini sehingga menjadi isu besar," katanya.

Sinar Harian 

Filem pecah panggung The Journey kini ke ruang tamu rumah anda



KUALA LUMPUR: Filem tempatan yang berjaya mencapai kutipan box office tertinggi sebanyak RM17.6juta, ‘The Journey’ akan ditayangkan kepada semua pelanggan Astro melalui Astro First (saluran 480) bermula 20 Mac ini.

‘The Journey’ bakal ditawarkan bersama dokumentari yang berjudul ‘End Credits’ dalam bentuk Definisi Tinggi (HD) dan Definisi Standard (SD) dengan sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu pada harga RM15 untuk setiap pembelian dalam jangka masa 48 jam.

Menurut pengarah ‘The Journey’ Chiu Keng Guan, dia begitu terharu dengan sambutan yang menggalakan daripada rakyat Malaysia untuk filem tersebut.

“Kami terharu dengan sambutan daripada rakyat Malaysia terhadap filem ini di pawagam.

"Diharapkan agar para pelanggan Astro akan menikmati filem yang menyentuh hati ini bersama seisi keluarga," katanya ketika ditemui pada tayangan dokumentari ‘End Credits’ bersama media bertempat di TGV One Utama, pada Rabu lalu.



The Journey’ mengisahkan tentang seorang bapa konservatif yang berat hati untuk membenarkan anaknya berkahwin dengan seorang lelaki berbangsa asing.

Jalan cerita yang ringkas serta nilai ketaatan terhadap ibu bapa, kasih sayang, perpaduan keluarga dan kepelbagaian budaya adalah faktor utama yang berjaya menarik minat penonton dari segenap lapisan masyarakat.

Filem ini juga memaparkan kepentingan konsep kekeluargaan dalam suatu tema universal yang relevan dalam semua budaya tanpa mengira latar belakang. Konsep ini dapat dilihat menerusi lakonan Ben Andrew Pfeiffer, Frankie Lee dan Joanne Yew.

Sementara itu, filem 'The Journey' bakal memulakan tayangan di Singapura pada 20 Mac 2014 dan akan dibawa ke Taiwan tahun ini.

Untuk melanggan sila ke Portal Astro di Saluran 480 dan ikuti langkah-langkah dibawah :

1.Tekan butang biru di alat kawalan jauh Astro untuk memilih filem pilihan anda.

2.Tekan butang biru sekali lagi untuk mengesahkan pesanan anda.

3.Kos SMS 16 digit akan terpapar di kaca televisyen , BUY [kod 16 digit] ke 32999. Contoh BUY 1234567891234.

Kemudian anda akan menerima SMS pengesahan pembelian dan filem tersebut sedia untuk ditonton dalam masa lebih kurang lima minit. Setiap pembelian akan dicajkan ke bil semasa pelanggan.

Astro Awani