Thursday, 5 December 2013

Lelaki terlanggar kereta rasmi PM

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang meletakkan sementara keretanya di laluan masuk ke Bangunan Parlimen untuk mengambil pas keselamatan, berdepan detik cemas apabila keretanya terundur dan terlanggar kereta rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lelaki berusia 20-an itu dikatakan terlupa menarik brek tangan kereta Volvonya menyebabkan kereta itu terundur dan terlanggar kereta Proton Perdana yang dinaiki Najib, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi, bagaimanapun tiada kerosakan pada kedua-dua kereta, katanya.

"Perdana menteri juga tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Kereta rasmi perdana menteri ketika itu memasuki kawasan bangunan Parlimen," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Najib menghadiri persidangan Dewan Rakyat di bangunan itu.

Mohmad berkata siasatan polis tidak mendapati adanya unsur jenayah. - Bernama

Banjir Pahang makin buruk, dua dikhuatiri lemas

Banjir Pahang

KUANTAN - Keadaan banjir di Pahang dilaporkan semakin buruk apabila lebih 20,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir, manakala dua beranak dikhuatiri lemas ketika sedang memindahkan barangan di Perkampungan Sungai Isap malam ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, kedua-dua beranak itu dikatakan cuba memindahkan barangan dari rumah mereka yang ditenggelami air di Perkampungan Sungai Isap menggunakan sebuah bot jenis fiber.

Kedua-dua beranak itu, Jamal Ali, 40-an, yang juga AJK Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya yang dikenali sebagai 'Megat' berusia belasan tahun dikatakan terjatuh ke dalam air ketika memindahkan barangan dari rumah mereka kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun butiran lengkap mengenai kejadian itu masih belum diperoleh.

"Pasukan mencari dan menyelamat masih berusaha mengesan mangsa terbabit," katanya.

Bernama difahamkan kedua-dua beranak itu menggunakan bot fiber milik persendirian dan bukannya milik pasukan penyelamat bagi memindahkan barangan mereka.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan banjir IPK Pahang berkata Lipis menjadi daerah keenam dilanda banjir apabila 11 mangsa banjir ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.

Daerah Kuantan masih mencatatkan jumlah pemindahan mangsa banjir tertinggi iaitu 14,044 orang yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan.

Di Rompin, sejumlah 4,144 mangsa banjir ditempatkan di 13 pusat pemindahan, di Pekan 3,061 mangsa banjir di 13 pusat pemindahan, di Maran 1,005 mangsa di tujuh pusat pemindahan dan di Jerantut 130 mangsa di empat pusat pemindahan.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir setakat 10 malam ini ialah 22,395 orang.

Sumber: Bernama