Thursday, 31 October 2013

20 GRO Vietnam diberkas

20 GRO Vietnam diberkas
Antara wanita Vietnam yang ditahan dalam Ops Cantas Khas, semalam.

KLANG – Seramai 20 wanita warga Vietnam disyaki bekerja sebagai GRO diberkas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dalam Ops Cantas Khas di pusat hiburan Lebuh Gopeng, semalam.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, serbuan pada jam 11.30 malam itu turut menahan seorang lelaki tempatan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen, Seksyen 55 B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen atas kesalahan tiada dokumen perjalanan dan langgar syarat lawatan," katanya.

Menurutnya, kesemua GRO ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati premis yang dimiliki oleh warga tempatan itu mempunyai lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Operasi ini gabungan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil,” katanya.


Sinar Harian

'Diberi betis, hendak paha'

Zainal Abidin Sakom
Zainal Abidin Sakom


SHAH ALAM - "Mereka benar-benar melampau, ibarat diberi betis, hendak paha!”

Demikian komen Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom berhubung beberapa isu yang dibangkitkan dalam Semakan Berkala Universal (UPR) termasuk tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) mengenai prestasi hak asasi negara seliaan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

Zainal Abidin berkata, tuntutan Comango dilihat tidak mempunyai diplomasi, berbanding layanan yang diberikan kepada mereka.

“Kita melayan mereka (Comango) sebagai manusia dan memberikan ruang kepada agama mereka supaya boleh dianuti dan diamalkan secara bebas serta aman di bawah undang-undang Malaysia.

“Sedangkan, orang Islam di Malaysia ialah majoriti. Kalau Islam majoriti, maka kumpulan minoriti yang mendapat kebebasan beragama tidak sepatutnya membuat tuntutan melampaui batas sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan Comango itu bercanggah dengan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

“Oleh kerana Islam agama rasmi, maka tuntutan membenarkan seks bebas, meminta kerajaan hapuskan undang-undang jenayah liwat, membenarkan lelaki kahwin dengan lelaki dan perempuan berkahwin dengan perempuan itu sangat dahsyat,” katanya.

Merujuk kepada kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia dalam isu sebelum ini, kata Zainal Abidin, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Eusoffe Abdoolcader memutuskan kedaulatan undang-undang negara mengatasi pengisytiharan antarabangsa.

“Dalam kes yang lain, mahkamah putuskan bahawa pengisytiharan hak asasi manusia yang dibuat di PBB bukan berbentuk perjanjian atau tidak boleh mengatasi kedaulatan sesebuah negara,” katanya.

Justeru, Zainal Abidin berharap supaya wakil kerajaan memberikan jawapan yang tegas terhadap semua usul UPR termasuk tuntutan Comango yang dijadualkan akan berlangsung hari ini.

“Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dapat mandat besar daripada orang Islam. Jadi peganglah kuasa yang diberikan untuk menjaga perlembagaan dan agama Islam.

“Yang di-Pertuan Agong juga ketika mengangkat sumpah, baginda bersumpah akan menjaga agama Islam,” katanya.


Sumber: Sinar Harian