Tuesday, 29 October 2013

SMS terakhir sebelum kemalangan

KUALA TERENGGANU - “Awak makan dulu, walid balik lambat hari ini,” itu antara kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang sempat dihantar mangsa kemalangan maut, Rusli Embok kepada isterinya, Norma Abdul Rahman, 52, sebelum terbabit dalam nahas yang meragut nyawanya di Jalan Jerangau Jabor, Dungun, malam kelmarin.
Norma berkata, SMS itu adalah yang terakhir diterimanya kira-kira jam 7 petang, sebelum dikhabarkan berita kematiannya pada hari sama.

“Tengah hari sebelum kejadian pun, arwah ada menelefon saya, ketika itu dia sudah berada di Dungun. Arwah pesan supaya saya tidak lupa makan ubat sebab saya kurang sihat.

“Kehilangan arwah sangat dirasai ahli keluarga kerana dia seorang yang penyayang dan terlalu mengambil berat soal anak-anak,” katanya yang mengajar di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu, di sini.

Menurut Norma yang masih bersedih di atas apa yang berlaku, setiap pagi, sebelum dia ke sekolah, arwah selalu bawakan beg serta barang-barangnya dan diletakkan di dalam kereta sambil mengiringinya sehingga ke pintu kereta.

“Tetapi pada hari kejadian, arwah hanya meletakkan barang-barang saya ke dalam kereta dan kemudiannya duduk di hadapan televisyen sambil menonton rancangan agama kegemarannya.

“Pada pagi itu, arwah tidak mengekori saya sehingga ke pintu kereta, sebaliknya saya bersalam dengannya di dalam rumah sahaja sebelum keluar ke tempat kerja,” katanya.

Norma tidak mengesyaki perkara pelik yang akan terjadi kerana dia sendiri mengetahui bahawa arwah memang suka menonton rancangan agama itu.

Sementara itu, adik ipar arwah, Ramli Abdul Rahman, 38, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah pada Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Ketika perjumpaan keluarga itu, arwah kelihatan sangat gembira, sehari sebelum menyambut Aidiladha dia berpuasa, dan ketika berbuka puasa, arwah nampak begitu berselera menjamu masakan ketam yang disediakan.

“Arwah memang seorang yang sangat disenangi ahli keluarga serta sanak saudara kerana kami selalu berhubung di antara satu sama lain,” katanya.

Manakala biras arwah, Dr Zulkifli Mohd Yusoff, 50, berkata, berita kematian arwah sangat mengejutkannya kerana baru sahaja berjumpa dua minggu lepas.

“Sejak dahulu lagi, arwah memang baik dengan semua orang dan saya perasan sejak kebelakangan ini, dia terlalu rapat dengan kami semua (saudara-mara), kehilangannya memang amat dirasai,” katanya.

Rusli yang bekerja sebagai Pengurus Besar Kanan (Pembinaan LPT Fasa 2) Jabatan Kerja Raya, meninggalkan seorang isteri serta empat anak, Ahmad Adli, 27, Ahmad Bulqini Ahsraf, 22, Ahmad Abqory Aiman, 19 dan Nur Amalina Syaquire, 18.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kecil, Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari.

Sumber: Sinar Harian

'Fizo cinta pertama saya'

Mawar
Mawar

Fizo Omar


Fizo Omar

"Fizo adalah cinta pertama saya dan sebelum ini saya tidak pernah bercinta kerana begitu dijaga oleh keluarga," akui bakal isteri Fizo Omar, Mawar Abdul Karim,24, kepada media.

Sebelum itu, pelakon kacak, Fizo Omar atau sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, melamar bakal isterinya dalam suasana penuh romantis di Cathay Cinneplex, e@Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Mengakui agak terkejut dengan majlis itu Mawar berkata, Fizo mengajaknya menonton wayang sebelum menghadiri sidang media yang dikatakan akan diadakan pada sebelah petang.

Bagaimanapun, dia dapat merasakan sesuatu akan berlaku apabila muncul babak lakonan Fizo bersama pelakon cilik, Mia Sara di layar dan turut melibatkan ibunya juga.

"Fizo kata petang nanti (semalam) ada sidang media untuk umumkan tarikh perkahwinan kami dan dia ajak saya menonton wayang terlebih dahulu.

"Memang pelik dan terdetik juga, 'biar betul dia ni', tapi saya ikutkan sahaja. Malah selepas masuk dalam pawagam dan dia minta izin untuk ke tandas, saya masih tidak rasa apa-apa sehinggalah muncul video tersebut baharu saya rasa sesuatu," katanya.

Berkongsi kejutan yang dibuat untuk Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia jugalah yang mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu.

Katanya, ia adalah sebagai satu tanda ingatan mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Saya pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar.

"Malah, ia juga berkisar mengenai perjalanan hidup kami dan lega rasanya apabila rancangan ini menjadi kerana bimbang juga jika ‘terkantoi’,” katanya.

Fizo berkata, dia yakin Mawar akan berkata 'ya' dan perkara itu turut diakui oleh Mawar sendiri :

"Sudah tentu saya kata ‘ya’ kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya,” jelasnya.


Artikel lengkap di Sinar Harian