Thursday, 27 June 2013

Jerebu tidak halang warga kota saksikan Supermoon


Jerebu tidak halang warga kota saksikan Supermoon

KUALA LUMPUR: Ruang udara berjerebu tidak menghalang segelintir warga kota bagi menyaksikan fenomena Perigee atau Supermoon.

Bulan dapat diperhatikan 14% lebih besar dan 30% lebih cerah berbanding bulan penuh biasa.

Fenomena Perigee atau Supermoon jatuh pada tanggal 24 Jun 2013.

Bulan berada pada fasa penuh dan yang paling hampir dengan bumi iaitu pada jarak 356,989 kilometer bagi tahun 2013.

Seperti diketahui, bulan mempunyai orbit yang sedikit bujur dan bukan berbentuk bulat sempurna.

Keadaan itu menyebabkan jarak bulan dengan bumi sentiasa berubah-ubah dan jarak paling jauh bulan dengan bumi bagi tahun ini adalah pada 7 Julai dengan jarak 406,491 kilometer.

Kesan fenomena bulan berada hampir dengan bumi adalah perbezaan pasang dan surut air laut yang lebih tinggi sedikit berbanding hari biasa.

"Yang terjadi kali ini... ini yang terbesar sehingga 20 tahun akan datang, jadi agak teruja juga nak tengok. Naik tadi dari menara KL semata-mata nak tengok fenomena Supermoon ni," kata seorang warga kota, Wan Muhammad Hasbullah.

"Benda ni jarang-jarang berlaku dan kita bertuah Malaysia dapat tengok walaupun agak jerebu sedikit, tetapi kita dapat tengok bulat... cantik," kata seorang warga kota lagi, Mohd Hafiz Hamzi Yahya.

Selain Malaysia, fenomena ini turut dapat dilihat di negara-negara lain seluruh dunia.


Sumber: Astro Awani

Monday, 24 June 2013

Jerebu 24/6: Muar makin pulih, Lembah Kelang semakin buruk

Jerebu 24/6: Muar makin pulih, Lembah Kelang semakin buruk

KUALA LUMPUR: Indeks Pencemar Udara (IPU) menunjukkan tanda-tanda positif di negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia, bagaimanapun, di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan bahagian-bahagian negeri-negeri utara keadaan semakin buruk.

Berdasarkan data 5 petang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Muar, yang mencatatkan IPU melebihi 700 pagi semalam, kini berada di IPU 125.

Kota Tinggi dan Pasur Gudang, yang telah mengalami kualiti udara yang teruk minggu lepas, mencatatkan IPU daripada 74-83 sepanjang hari.

Melaka juga menunjukkan tanda-tanda peningkatan, dimana Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai yang mencatatkan IPU serendah 128 pada pukul 5 petang, dari setinggi 260 pagi ini.

Malangnya, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan sebahagian daripada negeri-negeri utara tidak mengalami nasib yang sama.

Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam yang mencatatkan IPU antara 157 dan 319 pada pukul 5 petang hari ini.

Putrajaya, Cheras dan Batu Muda yang mendaftar IPU antara 156 dan 189.

Satu lagi tanda membimbangkan ialah jerebu boleh menjejaskan Malaysia Timur tidak lama lagi.

Bacaan pada pukul 11 pagi Isnin dan 5 petang hari sama menunjukkan IPU di Sibu adalah antara 102 dan 106.