Friday 31 March 2017

Nora, Nedim selamat diijabkabul

Nora dan Nedim selepas sah menjadi pasangan suami isteri sambil diperhatikan anak masing-masing. - Foto Mstar Online

KISAH percintaan pasangan Nora Danish dan Nedim kini berakhir di jinjang pelamin apabila pasangan ini selamat diijabkabulkan semalam.

Memetik laporan Mstar, pasangan yang menyulam kasih selama hampir tiga tahun ini dinikahkan malam tadi pada majlis tertutup kira-kira jam 8.37 malam di Glasshouse at Seputeh.

Nora atau Nora Danish Mohd Hanif, 35, dan Nedim Nazri, 34, dinikahkan jurunikah Khairul Asyraf Ahmad.

Dengan dua kali lafaz, Nedim sah bergelar suami kepada pelakon yang popular dengan drama Puteri ini.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM300 sementara wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Nora kelihatan berseri-seri dalam persalinan rona putih daripada koleksinya sendiri iaitu Owl By ND. Pernikahan mereka turut disaksikan kaum keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak. Menurut Nora, majlis pernikahannya itu diadakan secara sederhana selain bersifat peribadi buat dirinya dan suami.

“Saya dan Nedim pernah merasai majlis pernikahan yang dibuat secara besar-besaran, namun untuk kali kedua ini biarlah kami bersederhana.

“Tidak semestinya majlis sederhana itu tidak meriah. Kami memilih cara ini kerana ia lebih peribadi dan intim," katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media.

Katanya, seperti mana pasangan berkahwin lain, dia dan Nedim berharap perkahwinan itu akan kekal berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

Ini merupakan perkahwinan kedua buat kedua-duanya.

Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli dan mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 8 tahun.

Mereka bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.

Nedim juga seorang duda anak satu selepas dikatakan bercerai pada 2013.

- Sumber: Sinar Harian | 31 Mac 2017

No comments:

Post a Comment