Sunday 19 March 2017

Bekas tahanan penjara Sungai Buloh saman kerajaan

Peguam, N Surendran dan bekas tahanan penjara V. Shashitheran memfailkan saman kecuaian berhubung insiden dipukul oleh banduan lain ketika dalam tahanan dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR- Seorang bekas tahanan penjara Sungai Buloh memfailkan saman kecuaian terhadap lima pegawai penjara Sungai Buloh, Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia berhubung insiden dipukul oleh banduan lain ketika dalam tahanan dua tahun lalu.

V. Shashitheran, 36, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui firma guaman Tetuan Daim & Gamany.

Bekas pemandu peribadi itu menamakan lima pegawai penjara iaitu Ketua Inspektor Zahit Zulkifli; Sarjan Johari Ismail; Koperal Mokhtar Hamat; Koperal Narul Zaman Md Sidek dan Wan Azman Abdul Rahim masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Sementara itu Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara, KDN dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan keenam hingga kelapan.

Melalui pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa dia telah ditahan di Blok Damai Penjara Sungai Buloh selama lima hari bermula 23 November 2015 sebelum dipindahkan ke Blok Cekal penjara yang sama pada 28 November 2015.

Menurutnya, dia telah ditempatkan bersama lebih kurang 100 tahanan lain dalam sel tersebut.

Shashitaran mendakwa dia telah dipukul dengan teruk oleh lima banduan pada 1 Disember 2015 selepas menegur mereka mencuri makanan milik banduan lain.

Dakwa Shashitharan, ketika dipukul dia telah menjerit berkali-kali meminta tolong daripada plaintif pertama hingga kelima namun tidak diendahkan, sebelum dipijak di belakang tengkuk oleh salah seorang banduan berkenaan sehingga tidak sedarkan diri.

Tambahnya, dia hanya sedar selepas beberapa minit kemudian namun tidak mampu bercakap dan dalam keadaan sangat lemah sebelum seorang banduan lain memaklumkan kepada defendan pertama.

Shashitharan kemudian dibawa ke klinik penjara menggunakan troli makanan selepas didapati dalam keadaan teruk sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya dia ditahan selama dua minggu di wad ICU dan seminggu di wad biasa serta menjalani pembedahan pada 21 Disember 2015 sebelum dibenarkan pulang pada 8 Januari 2016.

Sementara itu plaintif mendakwa, akibat insiden tersebut, dia telah mengalami kesakitan, kecederaan dan ketidak upayaan sehingga perlu memakai 'neck brace' bagi menyokong leher selain kehilangan sensasi pada kulit serta tidak mampu mengawal pembuangan air besar atau kecil.

Plaintif mendakwa kesemua defendan cuai kerana menempatkannya dalam sel yang sesak sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan dan keganasan serta gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikannya selama sembilan hari dalam tahanan penjara.

Sehubungan itu dia menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, serta deklarasi tindakan menempatkan 100 banduan dalam satu sel adalah bercanggah dengan Akta Penjara 2000 atau artikel 5 dan artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

- Sumber: Sinar Harian | 17 Mac 2017

No comments:

Post a Comment